Dua penghuni lelaki larikan diri dari Puspen Dengkil

POLIS sedang mengesan dua penghuni lelaki yang melarikan diri dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Dengkil di Sepang hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden Mior Mohd Nor Azuan Alias berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8.40 pagi.

“Polis sedang menjalankan usaha mengesan kedua-dua lelaki berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan kedua-dua individu terbabit diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di talian 03-8777 4222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sementara itu, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam satu kenyataan malam ini memaklumkan, kedua-dua suspek melarikan diri dari kawasan Puspen dan mencuri sebuah kenderaan dari sebuah kampung berhampiran.

“Kenderaan yang dicuri dua suspek itu telah dijumpai di Beranang dan telah diserahkan kepada polis. Usaha mengesan dan menangkap kedua-dua suspek sedang giat dijalankan dengan kerjasama polis,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, hantaran dan gambar dua lelaki dipercayai tahanan Puspen Dengkil didakwa melarikan diri dikongsikan tular di media sosial.

Hantaran berkenaan memaklumkan, kedua-dua individu itu dipercayai melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan curi Nissan Frontier bernombor pendaftaran WMK 1809.

“Mohon semua pihak berwaspada dan sekiranya terlihat kenderaan atau individu berkenaan, jangan cuba mendekati atau mengambil tindakan sendiri.

“Segera maklumkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau AADK untuk tindakan lanjut,” tulis hantaran itu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here