DUA lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, dekat Bukit Lanjut, Gua Musang hari ini.
Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 10.24 pagi itu membabitkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70, Toyota Hilux dan kenderaan polis.
Difahamkan, kedua-dua yang maut ialah penumpang Proton X70 dengan seorang daripadanya maut di lokasi kemalangan, manakala seorang lagi ketika dirawat di Hospital Gua Musang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, ketika pihaknya sedang melakukan pemeriksaan kenderaan di Kilometer 16, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, anggota bertugas mengesan sebuah Proton X70 dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, SUV itu berpatah balik dan bergerak menghala ke bandar Gua Musang sebelum pihaknya mengekori kenderaan terbabit untuk diperiksa.
“Setiba di lokasi, Proton X70 itu dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan melanggar bahagian sisi belakang Toyota Hilux.
“SUV itu terbabas ke bahu jalan dan merempuh tiang lampu,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.
Menurut beliau, beberapa individu yang berada di dalam SUV terbabit turut cedera dan dibawa ke Hospital Gua Musang.
“Anggota polis serta pemandu Toyota Hilux tidak mengalami kecederaan. Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti identiti kesemua individu terbabit selain mendapatkan gambaran lengkap kejadian.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.





