DUA rumah dan sebuah surau musnah dalam kebakaran di Kampung Pagar-Pagar Sondoton, Keningau, tengah malam tadi.
Pemangku Balai Bomba dan Penyelamat Keningau, Evan Bobby berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 12.53 tengah malam sebelum sepasukan 10 anggota dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba kira-kira jam 1 pagi, didapati kebakaran membabitkan tiga struktur jenis tidak kekal iaitu dua rumah dan sebuah surau yang terbakar 100 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 91 meter dengan dua pancutan air yang diperoleh daripada jentera, tangki air serta pili bomba berhampiran.
Katanya, api berjaya dikawal daripada merebak pada jam 1.44 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira jam 3 pagi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Punca sebenar kebakaran masih disiasat,” ujarnya.


