CUBAAN menyeludup minyak masak bersubsidi menggunakan sebuah lori gagal apabila Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 64 kotak mengandungi 1,088 paket minyak masak dalam serbuan di Kampung Atiam, Lahad Datu, petang semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 3.10 petang itu, PPM menahan lelaki tempatan berusia lingkungan 61 tahun yang dipercayai menjadi pemandu kenderaan berkenaan.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Amri Abdul Rahman berkata, pemeriksaan ke atas lori yang ditutup dengan kain kanvas menemukan beberapa bungkusan plastik hitam mencurigakan.
“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan kotak minyak masak bersubsidi jenama ‘Cap Mawar’ yang disorok di dalam bungkusan berkenaan.
“Setiap kotak mengandungi 17 paket dan keseluruhan rampasan adalah sebanyak 64 kotak bersamaan 1,088 paket minyak masak,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, pemandu lori berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membawa serta menyimpan bekalan berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM42,790.


