DUA lelaki warga Indonesia berasal dari Aceh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini atas dua pertuduhan mengedar lebih 147 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine di perairan Teluk Kumbar, dua minggu lalu.
Tertuduh, Irfansyah, 30, dan Junaidi, 51, bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Harian Metro.
Terdahulu, kedua-dua tertuduh memaklumkan mereka tidak memahami bahasa Melayu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Pertuduhan kemudian dibacakan semula buat kali kedua dengan bantuan peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh, Datuk Naran Singh sebelum mereka mengangguk tanda memahami pertuduhan yang dikenakan.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 113.776kg di kawasan perairan Teluk Kumbar kira-kira pukul 7.15 malam pada 17 Julai lalu.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mengedar dadah berbahaya jenis cecair methamphetamine seberat 33.412kg di lokasi serta masa dan tarikh yang sama.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Sofi Jaafar memohon mahkamah menetapkan tarikh bagi serahan laporan kimia.
Mahkamah kemudian menetapkan 30 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan laporan kimia selain tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin.
Sebelum ini, media melaporkan cubaan menyeludup keluar 113.776kg syabu bernilai RM5.69 juta dan 3,497 kartrij vape mengandungi cecair disyaki methamphetamine bernilai RM315,000 berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang menerusi Op Taring Gelora pada 17 Julai lalu.
Dalam operasi itu, kedua-dua suspek yang dipercayai bertindak sebagai pengangkut dadah melalui laut ditahan selepas bot nelayan tempatan yang dinaiki mereka dipintas kira-kira tujuh batu nautika di selatan Pulau Rimau.
Keseluruhan nilai rampasan termasuk sebuah bot fiber yang dipercayai digunakan sindiket bagi kegiatan penyeludupan itu dianggarkan berjumlah RM6.123 juta.






