DUA buruh warga Indonesia masing-masing dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan tujuh sebatan oleh Mahkamah Sesyen Batu Pahat, hari ini selepas mengaku bersalah merompak wang tunai RM30,000 dan barang kemas milik majikan, empat bulan lalu.
Sangkot Ibrahim, 32, dan Asgi Yusandi, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama merompak seorang wanita berusia 64 tahun membabitkan wang tunai RM30,000, empat utas rantai dan gelang emas, subang, gelang kaki serta cincin.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Parit Bilal, Mukim 5, kira-kira jam 9.30 pagi, 8 Mei lalu.
Berdasarkan fakta kes, mangsa didatangi kedua-dua tertuduh yang dikenalinya untuk melakukan kerja membaiki rumah.
Sangkot kemudian meminta meminjam telefon mangsa sebelum Asgi tiba-tiba mencekik wanita itu dan mengacukan gunting ke lehernya.
Sangkot selepas itu mengikat tangan dan kaki mangsa serta menutup mulutnya menggunakan pita pelekat sebelum mengambil cincin dan gelang yang dipakai mangsa.
Kedua-dua tertuduh kemudian masuk ke bilik tidur dan mengambil beg tangan mengandungi wang tunai RM30,000 sebelum melarikan diri.
Mangsa yang berjaya melepaskan diri kemudian membuat laporan polis, manakala kedua-dua tertuduh ditahan di sebuah tapak pembinaan.
Polis turut merampas resit pajak gadai yang dipercayai berkaitan barang kemas berkenaan bagi membantu siasatan.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam, lapor BH.





