JABATAN Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali dan tiga bekas akauntan syarikat itu berhubung 331 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM38.1 juta.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul, ketika prosiding pengurusan kes keempat-empat tertuduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.
Susulan keputusan tersebut, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh bagi perbicaraan kes berkenaan.
Mohd Ashrof berkata, pendakwaan dijangka memanggil antara 15 hingga 20 saksi sepanjang prosiding dan menganggarkan tempoh enam hingga lapan hari diperlukan untuk perbicaraan.
Nasiruddin, 67, menghadapi 77 pertuduhan dengan jumlah melebihi RM10 juta.
Tiga lagi tertuduh ialah Hamimah Yakub, 74, yang berdepan 95 pertuduhan membabitkan RM11.4 juta; Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 46, dengan 68 pertuduhan melibatkan RM4.7 juta; serta Mohd Khushairi Osman, 55, yang menghadapi 91 pertuduhan membabitkan hampir RM12 juta.
Bagaimanapun, peguam Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili kesemua tertuduh memaklumkan pihak pembelaan bercadang mengemukakan satu lagi representasi kepada AGC.
Menurutnya, representasi baharu itu antara lain akan meminta AGC meneliti kemungkinan tawaran kompaun terhadap anak guamnya.
“Kami memohon tarikh perbicaraan dan satu tarikh pengurusan kes kerana ada satu lagi representasi yang akan dimasukkan bagi AGC meneliti tawaran kompaun terhadap anak guam kami.
“Kami akan masukkan representasi ini selepas harta-harta (tertuduh) yang disita dikembalikan secara rasmi kepada anak guam kami,” katanya.
Rosli berkata sekiranya proses pemulangan harta yang disita dapat diselesaikan pada Oktober, representasi baharu itu dijangka dikemukakan pada November.
Susulan perkembangan tersebut, Hakim Datin Fatimah Zahari menetapkan 26 Januari tahun depan bagi pengurusan kes seterusnya.
Mahkamah turut menetapkan 26 hingga 28 April, 28 hingga 30 Jun serta 6 hingga 8 Julai tahun depan sebagai tarikh perbicaraan.
Prosiding turut dihadiri dua lagi peguam bela Muhammad Zaim Rosli dan Kamal Hisham yang mewakili Hamimah.





