NG Eain Yow dan S Sivasangari mencipta sejarah apabila menjadi dua pemain skuasy pertama yang mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik selepas masing-masing memenangi pingat emas perseorangan lelaki dan wanita pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.
Pencapaian kedua-dua pemain negara itu turut mendapat perhatian Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang mengiktiraf kejayaan berkenaan menerusi akaun media sosial rasminya.
“Malaysia mencipta sejarah! Eain Yow dan Sivasangari mengesahkan tempat Olimpik untuk Malaysia di #LA28 selepas masing-masing menjuarai perseorangan lelaki dan wanita di #AsianGames.
“Mereka menjadi pemain skuasy pertama dalam sejarah yang meraih tempat ke Olimpik!” umum laman rasmi @olympics kepada jutaan pengikutnya.
Kejayaan itu hadir ketika skuasy bakal membuat penampilan sulung sebagai sukan yang menawarkan pingat di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Eain Yow dan Sivasangari memperoleh kelayakan automatik selepas mengekalkan kejuaraan masing-masing dalam aksi final yang berlangsung di Nagoya Kinjo Futo Arena.
Dalam final perseorangan wanita, Sivasangari menewaskan pemain muda India, Anahat Singh, 11-4, 11-4, 11-7 untuk mempertahankan emas yang dimenanginya pada edisi Sukan Asia terdahulu.
Eain Yow pula mengekalkan gelaran perseorangan lelaki selepas menundukkan wakil India, Abhay Singh, 11-9, 11-5, 11-5.
Lebih membanggakan, pemain negara itu menamatkan saingan tanpa kehilangan satu permainan sepanjang kejohanan.
Kejayaan berkenaan hadir selepas penantian panjang skuasy untuk mendapat tempat dalam temasya Olimpik, dengan beberapa nama besar sukan itu sebelum ini termasuk legenda Malaysia, Datuk Nicol David serta jaguh Pakistan, Jahangir Khan dan Jansher Khan, tidak pernah beraksi di pentas Olimpik.
Dengan kejayaan Eain Yow dan Sivasangari, Malaysia menjadi negara pertama yang menghantar wakil skuasy ke pentas Olimpik, manakala kedua-dua pemain itu mencatat nama sebagai perintis sukan berkenaan di LA28.





