EMPAT individu cedera selepas seorang lelaki bersenjatakan parang mengamuk dan mengejar orang awam di Kampung Berchang, Kuala Lipis, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.36 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, susulan tindakan polis, suspek ditahan kira-kira jam 7.10 malam sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis untuk tindakan lanjut.
“Suspek dirujuk ke Wad Psikiatri Hospital Bentong selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lipis dan kini masih berada di hospital berkenaan untuk pemeriksaan mental,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, empat mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Padang Tengku berhubung kejadian itu.
Katanya, kecederaan dialami semua mangsa tidak begitu serius dan mereka berada dalam keadaan stabil.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya,” katanya.





