Impian nenek, sokongan suami iringi kejayaan dua penerima Anugerah Diraja UPSI

Oleh Bazli Razak

IMPIAN seorang nenek untuk melihat cucunya menjadi individu pertama dalam keluarga menggenggam segulung ijazah serta sokongan seorang suami yang turut melalui perjalanan akademik bersama menjadi antara kisah inspirasi dua graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menerima Anugerah Pelajaran Diraja (APDR) pada Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-28.

Abbas Ali Iftikhar Hussain, 24, menerima APDR kategori Bukan Bumiputera, manakala Sofea Maisarah Shuib, 25, dipilih sebagai penerima bagi kategori Bumiputera.

Abbas Ali, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kimia) dengan Kepujian, berkata impian nenek dan harapan ibu bapanya menjadi pendorong utama untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik serta melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti pembangunan mahasiswa.

Beliau berkata kejayaan itu bukan miliknya seorang, sebaliknya hasil sokongan, pengorbanan dan doa ibu bapa, keluarga, guru serta pensyarah yang sentiasa membimbingnya sepanjang perjalanan pendidikan.

“Impian yang saya tanam sejak diploma akhirnya menjadi kenyataan. Kejayaan ini bukan milik saya sepenuhnya, tetapi milik semua insan yang banyak menyokong, membimbing dan mendoakan saya dari kecil sehingga hari ini,” katanya ketika ditemui pada istiadat berkenaan, hari ini.

Anak kepada pemandu lori, Iftikhar Hussain Sadiq Hussain, 59, dan kerani kewangan, Nursham Abdullah, 53, itu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.87 bagi pengajian ijazah sarjana muda selepas mencatat keputusan 3.93 dalam Diploma Teknologi Makmal di UPSI.

Beliau turut menerima Anugerah Dekan sepanjang lapan semester pengajian, selain menghasilkan dua artikel dalam jurnal berindeks Scopus sebagai penulis utama dan penulis bersama.

Penglibatannya dalam pendidikan pembangunan mampan turut membuahkan pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai Tokoh Kelestarian Siswa Negara 2025 dan Tokoh Siswa UPSI 2026.

Sofea Maisarah bersama keluarga sambil menunjukkan pingat Anugerah Pelajaran Diraja pada Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-28 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI.

Sementara itu, Sofea Maisarah berkata kejayaan menerima APDR menjadi lebih bermakna apabila beliau turut menamatkan pengajian bersama suaminya, Muhammad Hazim Haziq Mond Rizal, 25, yang mengikuti program pengajian sama.

Beliau berkata mereka mula mengenali antara satu sama lain ketika mengikuti Diploma Kaunseling Islami di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar, pada 2019 sebelum melanjutkan pengajian ke UPSI dalam program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) dengan Kepujian.

Sofea Maisarah memperoleh PNGK 3.94, selain mencatat Purata Nilai Gred Semasa (PNGS) 4.00 sebanyak empat kali dan menerima Anugerah Dekan pada setiap semester sepanjang pengajian di UPSI.

Beliau turut terpilih sebagai Calon Rentas Cemerlang A bagi Internship Kaunseling pada semester akhir, selain menghasilkan lima inovasi dalam bidang kaunseling dan pendidikan yang meraih empat Gold Award serta satu Bronze Award menerusi pertandingan peringkat antarabangsa.

Antara pengalaman bermakna beliau ialah memberikan sokongan psikososial dan bantuan psikologi awal (Psychological First Aid) kepada keluarga serta rakan-rakan mangsa nahas bas pelajar UPSI di Gerik pada Jun 2025, sekali gus membolehkannya mengaplikasikan ilmu kaunseling dalam situasi sebenar.

Suaminya, Muhammad Hazim Haziq, turut menamatkan pengajian dalam program sama dengan PNGK 3.65 dan bakal menerima ijazah pada sesi keenam istiadat berkenaan.

Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-28 berlangsung dari 25 November hingga 2 Disember ini membabitkan lapan sesi dengan seramai 6,781 graduan bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here