SEORANG bayi perempuan berusia lima bulan yang dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas berada di rumah pengasuhnya kini ditempatkan di hospital bagi pemantauan dan pemeriksaan lanjut.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) pada 14 November lalu, kira-kira jam 5.46 petang.
“Bayi berkenaan dibawa ibunya ke Jabatan Kecemasan HCTM untuk mendapatkan rawatan selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di rumah pengasuh.
“Mangsa dilaporkan mengalami sawan selain terdapat kesan lebam dan luka pada bahagian muka serta telinga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bayi itu kini ditempatkan di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak UKM (HPKK UKM) untuk pemantauan dan pemeriksaan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan masih dalam siasatan,” katanya.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga boleh menjejaskan siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Hotline Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.





