Murid 12 tahun cedera dilanggar Myvi ketika melintas di hadapan sekolah

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun cedera di kepala, tangan dan kaki selepas dilanggar sebuah Perodua Myvi ketika melintas jalan di hadapan sekolahnya di Jalan Padi Mahsuri, Bandar Baru Uda, Johor Bahru, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Azrol Anuar Nor berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang ketika kereta dipandu lelaki berusia 70-an itu bergerak di lorong paling kiri dari arah Johor Bahru menghala ke Jalan Jagong, Bandar Baru Uda.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, kanak-kanak warga tempatan itu dipercayai melintas secara tiba-tiba dari arah kiri ke kanan jalan menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak sebelum melanggarnya.

“Akibat kemalangan itu, kanak-kanak berkenaan mengalami kecederaan pada bahagian kepala, tangan dan kaki serta mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

“Manakala pemandu kereta berusia 70-an itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai atau tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM10,000 serta dipenjara sehingga 12 bulan.

Sehubungan itu, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan, khususnya ketika melalui kawasan laluan pejalan kaki.

Ibu bapa dan penjaga turut diingatkan supaya memantau keselamatan anak-anak ketika melintas jalan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Hamizan Akmal Affandi menerusi talian 013-8720640.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here