POLIS mengenal pasti tiga sekeluarga yang maut selepas dirempuh lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam kemalangan di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, mereka ialah Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25 dan Siti Darwisyah Auni, 12.
‘’Isteri mangsa, Norhayati Razali, 55, yang turut menjadi mangsa dalam kejadian itu kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan difahamkan dalam keadaan stabil,’’ katanya sambil memaklumkan keluarga berkenaan menetap di Kampar, Perak, lapor Sinar Harin.
Mohd Zamzuri berkata, pemandu lori JIM berusia 43 tahun serta pemandu Proton Saga berusia 50 tahun telah direman sehari untuk membantu siasatan.
“Dua individu itu direman sehari bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Dalam kejadian jam 1 pagi di persimpangan lampu isyarat Maju Junction itu, ia melibatkan sebuah lori Isuzu Black Maria milik JIM Kuala Lumpur, dua buah kereta dan empat orang pejalan kaki.
Lori tanpa penumpang berkenaan sedang dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi tujuan mengambil Orang Kena Tahan (OKT) susulan operasi pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan berkenaan.
Lori tersebut dipercayai telah memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah dalam keadaan lampu beacon dan siren diaktifkan.
Pada masa yang sama, sebuah Proton Saga yang dipandu lelaki Melayu berusia 50 tahun melalui persimpangan berkenaan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna hijau.
Pemandu Proton Saga terbabit dipercayai tidak sempat mengelak lalu berlaku perlanggaran dengan lori berkenaan di tengah persimpangan.
Akibat perlanggaran tersebut, lori berkenaan telah hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat orang mangsa tersebut.





