KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) masih menunggu laporan polis berhubung kes seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang didakwa dikasari pengasuh di sebuah taska di Mentakab, Pahang, semalam.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihak kementerian hanya boleh mengambil tindakan lanjut selepas menerima laporan polis berhubung kejadian itu.
Bagaimanapun, katanya, pelindung kanak-kanak sudah dihubungi bagi menyediakan laporan berkaitan kes berkenaan untuk membantu siasatan.
“Kita apabila menerima maklumat seperti itu, kita masih lagi membantu dan menunggu pihak polis memberikan laporan.
“Cuma dari segi pelindung, pelindung dengan pihak polis bekerjasama kerana polis memerlukan laporan daripada pelindung untuk membawa kes ke mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Penduduk 2026 Peringkat Negeri Sarawak di i-CATS University, Kuching, hari ini lapor Harian Metro.
Semalam, polis dilaporkan membuka kertas siasatan selepas mengesan rakaman video tular di media sosial yang memaparkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun didakwa dikasari pengasuh di sebuah taska di Mentakab.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, pihaknya mengesan satu hantaran di media sosial berkaitan kejadian itu sebelum menerima laporan daripada ibu mangsa kira-kira jam 6 petang.
Menurutnya, ibu mangsa berusia 29 tahun memaklumkan anak perempuannya dihantar ke pusat asuhan berkenaan dan mendakwa menerima layanan kasar daripada pengasuh.
Mohd Nasyim berkata, susulan laporan itu, polis membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti kejadian sebenar serta mengambil tindakan lanjut terhadap pihak terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.




