Enam ADUN Pas Pelis patut sokong Abu Bakar terus jadi MB

TINDAKAN Bersatu menggantungkan keahlian  Abu Bakar Hamzah selama dua penggal pemilihan seharusnya tidak perlu dijadikan alasan untuk menghalang beliau meneruskan tanggungjawab sebagai Menteri Besar.

Walaupun ada desakan supaya beliau melepaskan jawatan tersebut namun ia tidak semestinya diikuti. Ia memandangkan apa yang lebih penting ialah sama ada Abu Bakar menerima sokongan majoriti ADUN atau tidak.

Ketika ini Pas mempunyai enam kerusi manakala Bersatu lima kerusi termasuk Abu Bakar dan satu kerusi Pakatan Harapan (PH). Dalam keadaan ini Pas harus berjiwa besar untuk menyokong Abu Bakar meneruskan tugasnya sebagai Menteri Besar.

Kalaupun Bersatu berhasrat untuk meletakkan ADUN parti itu menggantikan Abu Bakar adakah Pas akan bersetuju? Bukankah lebih molek jika Pas yang menjadi Menteri Besar sepertimana sebelum ini?

Demi kestabilan politik di Perlis adalah wajar Abu Bakar dikekalkan. Apa yang berlaku di Kedah boleh dijadikan contoh apabila ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani (EXCO Pertanian, Perladangan, dan Pengangkutan) serta ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis (Timbalan Speaker DUN) telah dipecat oleh Bersatu pada Mei 2026.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md.Nor berjiwa besar mengekalkan kedudukan mereka dalam pentadbiran negeri. Sanusi dan Pas tidak mahu terlibat dalam pertelagahan politik tidak habis-habis dalam Bersatu sehingga menggugat pentadbiran di negeri yang Bersatu ‘menumpang’ kekuatan Pas.

Sekarang  Bersatu dan Pas tidak ada apa-apa ikatan. PN sudah dibatalkan pendaftarannya dan kedua-dua parti itu tidak mempunyai kerjasama politik, maka terserahlah kepada Pas menentukan apa yang mahu dilakukan di Perlis. Tindakan paling baik ialah terus memberi sokongan kepada Abu Bakar.

Dengan penggantungan oleh Bersatu, secara tidak rasminya Abu Bakar sudah tidak ada apa-apa ikatan dengan parti itu. Sebab itulah di peringkat pusat Ahli Parlimen Bersatu yang digantung terus menjalankan aktiviti dengan Pas dan Wawasan.

Sebenarnya Abu Bakar bukanlah Wakil Rakyat pertama dalam Bersatu digantung. Bersatu tidak mahu melakukan tindakan memecat kerana ia akan merugikan parti itu dari segi jumlah wakil rakyat.

Walaupun tindakan menggantung dianggap ‘politik tidak cerdik’ namun sememangnya politik seumpama itu ‘bukanlah asing’ bagi Bersatu atas sebab itulah parti itu kini berada dalam porak-peranda sehingga ia akhirnya memudaratkan Perikatan Nasional (PN).

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here