SEBUAH kilang di Kawasan Perindustrian Sawit Baru di Kulai terbakar hari ini menyebabkan dua pekerja melecur manakala empat lagi termasuk dua wanita cedera,
Dalam satu kenyataan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Fauzi Awang berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 1.59 tengah hari dengan pasukannya dibantu anggota BBP Bandar Baru Kulai ke lokasi.
“Kebakaran telah menyebabkan dua pekerja warga asing lelaki masing-masing berusia 30-an melecur hampir 50 peratus dan 10 peratus. Empat lagi mangsa iaitu dua pekerja lelaki tempatan berusia 20an dan 40an serta dua pekerja wanita berusia 20an cedera,” katanya.
Beliau berkata, seorang daripada mangsa telah dibawa ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba, manakala lima lagi mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim.
Muhammad Fauzi memberitahu, jentera pertama yang tiba di lokasi pada 2.11 petang mendapati kebakaran melibatkan kilang jenis kekal yang menjalankan proses anodizing atau salutan logam dan aluminium melalui proses elektrolisis.
“Dua mesin polishing terbakar dan turut menyebabkan letupan, selain mengakibatkan kira-kira 50 peratus struktur bangunan kilang runtuh,” katanya..
Beliau berkata, tindakan pemadaman awal dilakukan oleh Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) kilang yang terdiri daripada empat anggota menggunakan sumber air pili bomba berhampiran.
Katanya, pasukan bomba kemudian meneruskan operasi pemadaman yang berakhir pada 3.09 petang.
Operasi membabitkan 13 anggota dengan tiga jentera, manakala punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.






