JABATAN Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berjaya menyelesaikan kes cubaan samun sebuah van keselamatan yang membawa wang tunai dengan penahanan seorang lelaki tempatan dalam satu serbuan di Shah Alam, hari ini.
Pengarahnya, Datuk M Kumar berkata, satu operasi khas digerakkan Bahagian D9, JSJ Bukit Aman untuk menjejaki suspek.
“Hasil risikan dan kecekapan pasukan serbuan, suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an itu berjaya ditangkap pada jam 11 pagi, di Shah Alam, Selangor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, polis turut merampas semula selaras ‘pump gun’ jenama Mossberg berserta sebutir peluru 12 bore yang dilarikan sebelum ini.
“Turut dirampas sepucuk pistol pelepas olahraga (starter pistol) jenama Ekol Lite berserta 48 butir peluru jenis ‘blank’. Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960,” katanya.
Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) akan dibuat di mahkamah esok.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan rompakan bersenjata serta cuba menyebabkan kematian atau cedera parah.
‘’Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat. Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana menonjolkan senjata api pada melakukan sesuatu kesalahan berjadual (rompakan).
“Jika disabitkan atas kesalahan ini, suspek bakal berdepan hukuman penjara seumur hidup berserta sebatan tidak kurang daripada enam kali,” katanya.
Dalam kejadian pada 20 Julai lalu suspek cuba merompak van keselamatan dan bertindak nekad merampas selaras senjata api milik pengawal keselamatan sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.






