EMPAT lelaki dan seorang wanita direman selama 15 hari bagi membantu siasatan kes penculikan seorang lelaki berusia 51 tahun yang dipercayai dilarikan sekumpulan suspek bersenjata di Tumpat, Jumaat lalu.
Perintah reman terhadap semua suspek berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu dikeluarkan Majistret Syed Farid Syed Ali di Kompleks Mahkamah Pasir Mas, hari ini.
Tempoh reman bermula hari ini sehingga 22 Jun bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 12 Akta Penculikan 1961.
Terdahulu, semua suspek yang memakai pakaian lokap tiba di kompleks mahkamah kira-kira jam 8.50 pagi dengan diiringi anggota polis.
Difahamkan, mangsa berusia 51 tahun itu diculik sekumpulan individu yang dipercayai menggunakan senjata api dalam kejadian di Tumpat pada Jumaat lalu.
Susulan siasatan dan operasi yang dijalankan polis, kesemua suspek berjaya ditahan semalam bagi membantu siasatan kes berkenaan.


