PENYOKONG Selangor FC mengamuk selepas skuad Gergasi Merah itu kecundang 3-2 kepada Persib Bandung dalam aksi Liga Juara-Juara Asia II (ACL II) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi.
Kekecohan bermula selepas tamat perlawanan apabila ada segelintir penyokong Selangor yang masuk ke dalam padang untuk meluahkan rasa kecewa mereka, namun sempat dihalang oleh pasukan keselamatan.
Selepas itu, kumpulan penyokong Selangor berkumpul di hadapan pintu utama stadium sebagai tanda protes selain mereka mendesak untuk berjumpa dengan pengurusan pasukan, lapor Sinar Harian.
Situasi itu menyebabkan kapten Selangor, Faisal Halim berjumpa dengan penyokong di luar stadium untuk menenangkan keadaan.
Dalam perlawanan itu, Selangor terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada aksi ACL II selepas tewas kali keempat berturut-turut dalam perlawanan peringkat Kumpulan G tersebut.
Skuad kendalian Christophe Gamel itu kekal di tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata selepas sebelum ini turut tewas kepada lawan yang sama, Bangkok United dan wakil Singapura, Lion City Sailors.



