PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia tidak dikenakan sebarang bayaran kos pendaftaran oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) bagi penganjuran perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air 2026 di Sepang pada Oktober ini.
“Alhamdulillah (penganjuran) ini setelah belasan tahun. Dulu kosnya ratusan juta masa kita anjurkan tahun 2017.
“Hari ini, kita anjur tanpa membayar kos pendaftaran kepada syarikat dan percuma,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Dewan Garisson, Kem Syed Sirajuddin di Gemas hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Malek Razak Sulaiman.
Semalam, penganjur perlumbaan F1, Liberty Media mengumumkan Litar Antarabangsa Sepang menjadi tuan rumah perlumbaan GP Bahrain Gulf Air 2026 yang dijadualkan semula pada 2 hingga 4 Oktober ini.
Dalam kenyataan dikeluarkan ketika GP Hungary, Liberty Media memaklumkan perlumbaan itu akan dikenali secara rasmi sebagai `GP Bahrain Gulf Air di Malaysia’.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perbelanjaan yang hanya negara perlu keluarkan adalah bagi membaiki trek SIC.
“Kalau ada sedikit perbelanjaan nak baiki trek. Trek yang sekarang digunakan untuk kenderaan, motosikal dan lain-lain itu (perlu) diperbaiki sedikit. Saya jangkakan kira-kira RM10 hingga 16 juta.
“Orang lain anjur, perbelanjaannya ratusan juta atau minimum RM1 bilion ringgit. Kita diminta belanja RM16 juta… menjadi tumpuan semua pelumba terkenal dunia, kenderaan yang tercanggih di dunia dan ribuan jurutera yang akan terbang ke Sepang, Malaysia,” katanya.
Anwar berkata pemilihan Malaysia dalam penganjuran F1 itu daripada banyak negara yang diteliti juga adalah disebabkan tiga faktor.
“Ada puluhan, kalau tidak lebih, negara-negara yang diteliti oleh mereka. Pertama harus aman. Kedua, urusannya baik dan cekap. Ketiga, infrastrukturnya lebih baik,” katanya.






