WALAUPUN gagal dalam permohonan untuk mengikuti kursus dandanan rambut di institut latihan kemahiran awam (ILKA), Ahmad Mirza Danish Sazimi berjaya mencapai cita-citanya untuk mendapatkan kemahiran dalam bidang dandanan rambut setelah dibantu oleh kolumnis Randau Demi Negara, Utusan Melayu Plus, Nordin Abdul Malek yang juga dikenali sebagai Mr. TVET.
Ahmad Mirza Danish, 20 berkata, beliau sudah hampir putus asa setelah gagal memasuki sebuah ILKA yang menawarkan kursus dandanan rambut dengan alasan kerajaan menetapkan kuota institut berkenaan hanya 10 orang sahaja.
“Namun setelah berjumpa dengan Nordin, saya dibimbing untuk mendaftar di institut latihan kemahiran swasta (ILKS) iaitu di Aimi Academy, di Setiawangsa, Kuala Lumpur” katanya.

Ahmad Mirza Danish berkata, walaupun kursus kemahiran pendek yang dijalani hanya selama 3 bulan, namun latihan yang diterima membolehkan beliau ditawarkan bekerja di Kedai Gunting Komuniti, di Flat Sri Perlis, di Taman Datuk Keramat, Kuala Lumpur.
Beliau ingin menimba pelbagai pengalaman sebelum melebarkan bakatnya pada masa depan termasuk membuka kedai gunting sendiri.

Sementara itu, Nordin berkata peranan ILKS seperti Aimi Academy membuktikan bahawa ILKS adalah pelengkap kepada sistem latihan TVET negara yang perlu ditingkatkan kapasitinya oleh kerajaan bagi menampung keperluan permintaan TVET yang kadangkala terhad di ILKA.
“Dalam kerajaan gemar melaporkan kononnya permohonan memasuki TVET semakin meningkat, semua itu tidak bererti jika jumlah kekosongan adalah terhad dan gagal memberikan tempat mengikut minat dan kecenderungan pemohon khususnya dalam kalangan belia”, katanya.
Melalui kolumnya pada Julai lalu, Nordin pernah mengulas kegagalan ramai belia memasuki ILKA disebabkan kuota terhad sehingga membunuh semangat mereka


