Perintah reman 3 suspek dera kanak-kanak disambung 6 hari

MAHKAMAH Majistret Kuala Terengganu hari ini membenarkan permohonan lanjutan reman terhadap dua lelaki dan seorang wanita selama enam hari bagi membantu siasatan kes kematian seorang kanak-kanak berusia tiga tahun sembilan bulan pada 13 April lalu dipercayai akibat didera.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood sehingga 25 April depan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan selepas tempoh reman tamat hari ini.

Tiga suspek terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 hingga 50 tahun sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia selepas dipercayai menjadi mangsa penderaan oleh keluarga angkatnya.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan Klinik Kesihatan Bukit Payong, Marang, kira-kira jam 3.46 petang, 13 April lalu.

Menurutnya, kanak-kanak itu dibawa ke klinik dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia selepas didapati tidak bernafas, tiada bacaan oksigen, tidak memberi reaksi anak mata serta tiada degupan jantung.

“Hasil pemeriksaan fizikal mendapati terdapat kesan lebam dan luka pada beberapa bahagian badan termasuk dada kiri, kedua-dua paha serta betis kanan.

“Selain itu, terdapat tanda bengkak dan gelembung air yang menunjukkan kemungkinan berlakunya jangkitan kuman ke atas mangsa,” katanya.

Susulan itu katanya, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 30 hingga 50 tahun bagi membantu siasatan.

Menurutnya, salah seorang daripada suspek difahamkan merupakan bapa angkat kepada mangsa.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah komplikasi iskemia anggota badan akut dipercayai berpunca daripada kecederaan patah tulang paha yang menekan otot dan salur darah utama.

“Keadaan itu menyebabkan komplikasi serius apabila mangsa tidak menerima rawatan segera,” katanya.

Azli berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img