SEORANG peniaga kerugian lebih RM25,000 selepas menjadi mangsa penipuan dalam talian yang membabitkan urusan jual beli mangga harum manis yang diiklankan dalam media sosial.
Dalam kejadian pada 18 April lalu, mangsa seorang lelaki berusia 53 tahun dikatakan tertarik dengan iklan jualan buah berkenaan di Facebook sebelum menghubungi penjual melalui aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa kemudian menerima satu pautan yang mengandungi kod QR daripada suspek.
Menurutnya, mangsa yang menekan pautan itu dan mengimbas kod QR berkenaan mendapati telefon bimbitnya tidak berfungsi selama kira-kira 20 minit sebelum menyedari berlaku transaksi mencurigakan.
“Siasatan mendapati terdapat tiga transaksi pengeluaran wang tanpa kebenaran daripada akaun bank milik mangsa, masing-masing berjumlah RM8,264, RM8,642 dan RM8,374.
“Keseluruhan kerugian yang dialami mangsa adalah sebanyak RM25,280,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Beliau berkata, mangsa telah menghubungi pihak bank sebelum tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Menurut Azli, kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sehubungan itu, Azli menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak sewenang-wenangnya menekan pautan atau mengimbas kod QR yang diterima daripada individu tidak dikenali bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan dalam talian.


