Gencatan senjata: Tentera Israel mula berundur, kemusnahan besar terdedah

Gencatan senjata yang dinanti-nantikan di Gaza mula berkuat kuasa semalam apabila Israel memulakan pengunduran tenteranya secara berperingkat selaras dengan pelan damai Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bagi menamatkan perang dua tahun itu.

Jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata, bermula pukul 12 tengah hari semalam (pukul 6 petang waktu Malaysia), pasukan tentera telah mengambil kedudukan di garisan penempatan operasi baharu berdasarkan perjanjian gencatan senjata dan pemulangan tebusan.

IDF dalam satu kenyataan turut mengesahkan bahawa pasukannya sedang beralih kedudukan di sepanjang ‘Garis Kuning’ di dalam Semenanjung Gaza, sambil mengekalkan posisi bagi menghadapi “ancaman segera” lapor agensi berita antarabangsa.

Media Israel melaporkan bahawa pengunduran sepenuhnya dijangka selesai dalam tempoh 24 jam, dengan pasukan ditarik balik dari Rafah, Khan Younis dan utara Gaza.

Ketika gencatan senjata bermula, puluhan ribu penduduk Palestin yang berpindah sebelum ini bergerak kembali ke utara dari selatan Gaza menuju ke Bandar Gaza, ramai menggunakan jalan pesisir Al-Rashid dan lebuh raya Salah al-Din yang kini dibuka untuk pergerakan.

Jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee, memberi amaran kepada orang awam agar tidak menghampiri kawasan tentera atau kawasan pesisir pantai, sambil menyifatkannya sebagai “amat berbahaya”.

Pengunduran itu turut mendedahkan kemusnahan besar di Bandar Gaza, khususnya di kejiranan Sheikh Radwan dan Al-Nasr, dengan rakaman menunjukkan keseluruhan blok kediaman musnah sama sekali akibat pengeboman berat.

Direktorat Pertahanan Awam Gaza menggesa penduduk supaya tidak menghampiri kawasan yang telah dikosongkan sehingga kebenaran rasmi diberikan, memandangkan risiko bahan letupan yang belum meletup dan runtuhan struktur bangunan.

Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) menyambut baik gencatan senjata itu sebagai satu “titik perubahan” selepas “dua tahun penderitaan yang tidak terbayang,” sambil menggesa kedua-dua pihak mematuhi komitmen mereka dan memudahkan akses kemanusiaan.

“Hari-hari yang mendatang amat kritikal,” kata Presiden ICRC, Mirjana Spoljaric. “Bantuan kemanusiaan mesti disambung segera sepenuhnya dan dihantar dengan selamat kepada semua yang memerlukan.”

Di bawah perjanjian gencatan senjata itu, Hamas akan membebaskan 20 tebusan yang masih hidup serta menyerahkan mayat 28 tahanan, manakala Israel akan melepaskan 250 banduan Palestin yang menjalani hukuman penjara seumur hidup dan 1,700 tahanan dari Gaza.

Kementerian Kehakiman Israel pada Jumaat menerbitkan senarai banduan yang akan dibebaskan, membolehkan orang awam mengemukakan petisyen, walaupun rayuan seperti itu lazimnya ditolak oleh Mahkamah Agung.

Sementara itu, media Israel melaporkan bahawa rakyat Palestin yang terperangkap di luar negara akan dibenarkan kembali ke Gaza melalui lintasan Rafah buat kali pertama sejak 7 Oktober 2023, di bawah mekanisme penyelarasan baharu antara Israel dan Mesir.

Lampiran kemanusiaan perjanjian tersebut membenarkan 600 trak bantuan memasuki Gaza setiap hari, membawa makanan, bekalan perubatan, bahan perlindungan dan bahan api.

Gencatan senjata ini menandakan fasa pertama pelan damai 20 perkara Trump untuk Gaza, yang membayangkan gencatan senjata kekal, pengunduran sepenuhnya tentera Israel, serta pembentukan badan pentadbiran baharu bagi Gaza yang disokong oleh negara Arab dan Islam.

Sejak Oktober 2023, serangan Israel telah mengorbankan hampir 67,200 penduduk Palestin — kebanyakannya wanita dan kanak-kanak — serta meninggalkan wilayah itu hampir tidak dapat didiami.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img