Kylian Mbappe meneruskan rentetan jaringan menakjubkannya kepada 10 perlawanan berturut-turut bersama kelab dan negara selepas menjaringkan gol ketika Perancis menewaskan Azerbaijan 3-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia,di Baku namun kapten Les Bleus itu kemudiannya terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan buku lali.
Adrien Rabiot turut mencatat nama sebagai penjaring walaupun diejek oleh sebahagian penyokong tuan rumah sepanjang perlawanan, manakala Florian Thauvin menambah gol ketiga pada penampilan sulungnya bersama skuad Perancis sejak 2019.
Mbappe hampir membuka jaringan seawal 17 saat pertama tetapi percubaannya tersasar selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan Azerbaijan. Perancis bagaimanapun terpaksa menunggu hingga masa kecederaan separuh masa pertama untuk memecah kebuntuan.
Menerima bola 38 meter dari gawang, penyerang Real Madrid itu menggelecek tiga pertahanan lawan sebelum bola dipantulkan kembali ke kakinya oleh Hugo Ekitike, membolehkannya menolak masuk ke penjuru kanan bawah gol.
Ekitike hampir menggandakan kedudukan sebaik babak kedua bermula tetapi percubaannya terkena tiang. Gol kedua hadir pada minit ke-69 apabila Rabiot menanduk masuk hantaran lintang Mbappe dari sebelah kiri.
Jurulatih Didier Deschamps memberikan peluang debut kepada Jean-Philippe Mateta dari Crystal Palace, namun terpaksa melakukan pertukaran lain pada minit ke-83 apabila Mbappe terpaksa keluar sambil terhincut-hincut selepas bertembung dengan Abdulla Xaybulayev.
Penggantinya, Thauvin, hanya memerlukan 70 saat untuk menghadiahkan sorakan baharu buat penyokong Perancis dengan gol ketiga yang disempurnakan cantik ke penjuru jauh.
Perancis kini mengumpul sembilan mata penuh dalam Kumpulan D dan akan menentang Iceland pada Isnin ini.
Kemenangan ini melanjutkan prestasi luar biasa Mbappe, yang telah menjaringkan gol dalam 10 perlawanan berturut-turut – merangkumi aksi bersama Real Madrid dan Perancis – satu rekod peribadi baharu baginya.
Sepanjang tempoh itu, penyerang berusia 26 tahun itu telah meledak 11 gol untuk Real Madrid (enam dalam LaLiga dan lima dalam Liga Juara-Juara) serta menambah lima gol berturut-turut untuk Perancis, menyamai rentetan terbaiknya sebelum ini antara Oktober 2021 hingga Mac 2022.
Namun begitu, kecederaan terbaharunya bakal menjadi kebimbangan besar buat Deschamps dan Real Madrid, selepas beliau turut dilaporkan cedera ringan ketika kemenangan Madrid ke atas Villarreal minggu lalu.



