Garis panduan baharu perkukuh kepercayaan digital

USAHA memperkasa perlindungan data peribadi negara dipertingkatkan menerusi pelancaran tiga garis panduan baharu di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709].

Inisiatif itu diumumkan oleh Kementerian Digital melalui Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dalam program PDPA Connect: Strengthening Digital Trust 2026.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Digital, Wilson Ugak Kumbong yang menegaskan kepentingan tadbir urus data yang kukuh dalam membina keyakinan pengguna terhadap ekosistem digital negara.

Program tersebut turut melibatkan kerjasama strategik antara JPDP dan Futurise Sdn Bhd bagi memastikan garis panduan yang dibangunkan bersifat praktikal serta selari dengan keperluan industri semasa.

Menurut Wilson Ugak, tiga garis panduan yang diperkenalkan merangkumi Penilaian Impak Perlindungan Data (DPIA), Mereka Bentuk Berasaskan Perlindungan Data (DPbD) serta Pembuatan Keputusan Individu Secara Automatik dan Pemprofilan (ADMP).

“Kesemua garis panduan ini bertujuan memperkukuh pengurusan risiko, memastikan perlindungan data dilaksanakan secara menyeluruh serta meningkatkan ketelusan dalam penggunaan teknologi automatik.

“Kepercayaan terhadap pengurusan data peribadi merupakan asas penting dalam memastikan kelangsungan serta daya saing ekonomi digital negara,” katanya dalam kenyataan sempena peluncuran garis panduan itu di Putrajaya semalam.

Menurut beliau, pendekatan perlindungan data perlu bergerak melangkaui pematuhan semata-mata kepada satu kerangka yang menekankan akauntabiliti dan pengurusan risiko secara menyeluruh.

Beliau turut menegaskan bahawa aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai negara berteraskan kecerdasan buatan menjelang 2030 memerlukan ekosistem digital yang bukan sahaja selamat, tetapi turut diyakini rakyat.

“Tanpa kepercayaan, potensi sebenar ekonomi digital tidak dapat direalisasikan sepenuhnya,” ujarnya.

Pelancaran garis panduan ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan undang-undang perlindungan data negara kekal relevan dengan piawaian global, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur dan rakan antarabangsa.

Sehubungan itu, kata beliau, kementerian menyeru semua pihak khususnya pengawal data agar mengambil langkah proaktif dalam melaksanakan garis panduan tersebut demi membentuk ekosistem digital yang selamat, dipercayai dan berdaya saing di peringkat global.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img