Haaland pemain terpantas jaring gol ke-100 ketika City hampir tersungkur kepada Fulham

DALAM salah satu perlawanan paling dramatik musim ini, Fulham hampir melakukan kebangkitan menakjubkan tetapi akhirnya tewas 4–5 di laman sendiri kepada Manchester City.

Fulham ketinggalan 0–3 pada awal permainan dan kemudian 1–5, sebelum bangkit dengan penuh semangat namun tidak cukup untuk mengubah keputusan.

Fulham menjadi hanya pasukan ketiga dalam sejarah Liga Perdana Inggeris yang menjaringkan empat gol dalam perlawanan di laman sendiri tetapi tetap kalah.

Situasi luar biasa ini hanya pernah berlaku tiga kali sebelum ini: Norwich City 4–5 Southampton (1994), Tottenham Hotspur 4–5 Arsenal (2004) dan Norwich City 4–5 Liverpool (2016).

Perlawanan itu turut menyaksikan pencapaian peribadi besar buat Erling Haaland. Dengan jaringan terbaharunya, Haaland mencapai 100 gol Liga Perdana dalam hanya 111 penampilan, menjadikannya pemain terpantas dalam sejarah liga mencapai angka tersebut.

Rekod terdahulu dipegang Alan Shearer, yang memerlukan 124 perlawanan untuk menjaringkan 100 gol.

Pencapaian itu juga mengangkat Haaland ke kedudukan bersama tempat ke-34 dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Perdana Inggeris — satu pencapaian luar biasa memandangkan tempoh beliau yang masih singkat di liga.

Haaland mencatat ekod itu selepas mencetak gol dalam perlawanan tersebut.

Haaland menyempurnakan lorongan pada babak pertama di Craven Cottage untuk melonjakkan jumlah jaringannya kepada 100 gol hanya dalam 111 penampilan liga bersama City.

Selepas detik bersejarah Haaland, Phil Foden pula meledak dua gol untuk membantu City mendahului 5-1.

Fulham bangkit garang pada separuh masa kedua dengan tiga jaringan dan hampir menyamakan kedudukan sebelum rembatan Josh King diselamatkan Josko Gvardiol di atas garisan pada saat akhir.

Kemenangan itu menyaksikan City yang berada di tangga kedua merapatkan jurang kepada dua mata di belakang pendahulu Arsenal yang berdepan Brentford awal pagi esok.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img