POLIS menahan seorang lelaki yang dipercayai membunuh teman lelaki bekas kekasihnya serta merogol wanita terbabit dalam kejadian di Jejawi, Perak Tengah pada Rabu lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, suspek berusia 30 tahun ditahan kira-kira jam 3.45 petang semalam di Terminal Bas Perlis Sentral, Kangar hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kontinjen Perak dan JSJ Perlis.
Menurut beliau, polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu selepas suspek menunjukkan lokasi senjata berkenaan yang dibuang ke dalam tong sampah di bandar Kangar.
Beliau berkata, kejadian bermula apabila suspek bertemu bekas teman wanitanya yang berusia 25 tahun di kawasan sawah padi di Jalan Trans Perak kira-kira jam 9 pagi pada 9 Jun lalu bagi membincangkan masalah hubungan mereka.
“Semasa perjumpaan itu, suspek telah bertindak mengugut dan merogol wanita berkenaan di dalam keretanya.
“Pada keesokan hari kira-kira jam 5 pagi, ketika suspek menghantar wanita terbabit ke keretanya, teman lelaki mangsa yang berusia 29 tahun datang untuk berjumpa suspek,” katanya dalam sidang media di Mes Pegawai Kanan Polis, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh hari ini.
Mohd Alwi berkata, suspek kemudian melarikan diri dengan memandu keretanya sebelum dikejar mangsa yang berjaya melanggar dan menghalang kenderaan suspek daripada meneruskan perjalanan.
Katanya, sebaik mangsa keluar dari kereta, suspek bertindak menyerang dan menikam mangsa di bahagian perut menggunakan sebilah pisau.
“Suspek kemudiannya melarikan diri menggunakan kereta milik mangsa sebelum meninggalkan kenderaan itu di Persiaran Batu Gajah Perdana, Batu Gajah,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, polis sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan seorang lelaki berusia 29 tahun yang maut akibat ditikam dalam kejadian di Kilometer 12, Jalan Trans Perak, awal pagi Rabu lalu.
Mohd Alwi berkata, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah menerima maklumat mengenai kejadian tikaman itu kira-kira jam 5.49 pagi pada 10 Jun.
Mangsa yang dihantar ke sebuah klinik swasta di Kampung Gajah bagaimanapun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan akibat tikaman.
Mohd Alwi berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada cemburu dan konflik hubungan.
Beliau berkata, suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan kes curi kenderaan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.






