Kemalangan maut Simpang Renggam: Anthony Loke gesa tindakan tegas terhadap pemandu

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menggesa tindakan pendakwaan setimpal diambil terhadap pemandu yang menyebabkan kemalangan maut di Simpang Renggam, Johor, semalam sehingga meragut lima nyawa termasuk empat sekeluarga.

Beliau berkata, polis perlu menyegerakan siasatan bagi memastikan kertas siasatan dapat dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) secepat mungkin untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, pemanduan melulu dan berbahaya seperti yang dipercayai berlaku dalam insiden berkenaan adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang sama sekali tidak boleh diterima.

“Pemanduan sebegini adalah tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima sama sekali.

“Keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama semua pengguna jalan raya. Lesen memandu bukan kebenaran untuk memandu sesuka hati sehingga menyebabkan malapetaka kepada orang lain yang tidak berdosa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anthony turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menyifatkan tragedi itu sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

Semalam, polis mengesahkan lima individu maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Johor Bahru–Ayer Hitam, Simpang Renggam.

Empat daripada mangsa yang terkorban merupakan ahli sebuah keluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.

Kemalangan itu dipercayai berpunca daripada tindakan dua pemandu kereta mewah yang memandu secara laju dan melulu sebelum menyebabkan nahas berkenaan.

Seorang daripada pemandu kereta mewah terbabit dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, manakala seorang lagi iaitu remaja lelaki berusia 19 tahun direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img