Sayap bersenjata Hamas, Briged Al-Qassam, mengumumkan pembebasan 20 tahanan Israel sebagai sebahagian daripada pelaksanaan fasa pertama pelan gencatan senjata yang dikaitkan dengan rundingan dikenali sebagai “Pelan Trump untuk menghentikan perang di Gaza”.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Gerakan Perjuangan Islam Hamas, langkah ini menandakan komitmen mereka terhadap perjanjian yang telah dicapai, serta menghargai peranan penting para pengantara dalam memaksa pihak Israel melaksanakan tanggungjawab mereka di bawah perjanjian tersebut.
“Pembebasan ini adalah hasil daripada keberanian dan ketabahan rakyat Gaza dan perjuangan berterusan pasukan penentangan,” kata kenyataan itu melalui akaun telegram skuad al-Qasam.
Hamas turut menegaskan bahawa tindakan itu adalah sebahagian daripada janji mereka kepada rakyat Palestin dan para tahanan, serta mencerminkan iltizam untuk mencapai pembebasan sepenuhnya daripada pencerobohan Israel.
Pertubuhan itu berkata, selama dua tahun konflik, usaha ketenteraan Israel untuk membebaskan tahanan mereka gagal, dan akhirnya terpaksa menerima syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak penentangan Palestin.
“Tentera Israel di bawah pimpinan Benjamin Netanyahu telah gagal membebaskan tahanan mereka dengan kekerasan, dan kini terpaksa tunduk kepada syarat pertukaran yang dipersetujui,” katanya kenyataan
Hamas berkata, mereka berusaha keras untuk memastikan keselamatan tahanan Israel walaupun terdapat percubaan berterusan oleh tentera Israel untuk menyerang kawasan yang dipercayai menempatkan tahanan berkenaan.
Pada masa yang sama, Hamas mengecam keadaan tahanan Palestin di penjara-penjara Israel, dengan mendakwa berlaku pelbagai bentuk pencabulan hak asasi manusia termasuk penderaan, penyeksaan dan pembunuhan.
Gerakan itu menegaskan bahawa isu tahanan kekal sebagai keutamaan nasional tertinggi bagi rakyat Palestin dan pergerakan penentangan, dan mereka tidak akan berhenti sehingga semua tahanan Palestin dibebaskan dan pencerobohan Israel dihapuskan sepenuhnya.



