TINDAKAN sekumpulan pelajar merentas sempadan secara haram di Rantau Panjang dipercayai bukan sekadar pelanggaran biasa, sebaliknya didalangi pihak tertentu yang mahu menguji ketegasan pihak berkuasa.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, hasil risikan mendapati terdapat pihak yang sengaja menggunakan pelajar bagi melihat sama ada polis akan mengambil tindakan tegas atau sebaliknya.
“Kita dapat maklumat ada pihak cuba nak ‘test’ (uji) kami dengan menggunakan pelajar sama ada pihak polis bertindak tegas atau sebaliknya.
“Jika kami berlembut dan melepaskan pelajar berkenaan, mereka mungkin akan melakukan lagi selepas ini. Namun siapa pihak berkenaan dalam siasatan kami.
“Saya mengingatkan semua pihak supaya mengikut peraturan yang ditetapkan kerana sebelum ini ada kes pihak tidak bertanggungjawab menggunakan pelajar sekolah untuk membawa dadah,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan IPK, Kota Bharu, lapor Buletin TV3.
Menurutnya, dalam tangkapan itu, seramai 34 pelajar ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika menggunakan pangkalan haram Jambu untuk ke sekolah di Rantau Panjang, kira-kira jam 6.30 pagi kelmarin.
Daripada jumlah itu, katanya, 29 pelajar berusia lebih 10 tahun dan boleh dikenakan tindakan undang-undang, namun keputusan pendakwaan bergantung kepada pihak pendakwaan.
“Setakat ini semua mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan dan kertas siasatan akan diserahkan kepada pihak pendakwaan,” katanya.
Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu pelanggaran undang-undang, terutama membabitkan penggunaan laluan tidak sah walaupun kemudahan laluan rasmi seperti Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) telah disediakan.
“Namun ada yang menggunakan alasan kos lebih murah menggunakan Sungai Golok berbanding laluan sah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya mematuhi peraturan dan tidak mengambil mudah aspek keselamatan serta undang-undang negara.


