HARGA minyak dunia melonjak melepasi AS$108 (RM455) setong selepas beberapa siri serangan dron memaksa Arab Saudi menutup saluran paip minyak mentah Timur-Barat, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap bekalan tenaga global.
Minyak mentah Brent yang menjadi antara penanda aras utama harga minyak dunia mencecah AS$108.03 setong pada Isnin, meningkat kira-kira 3.25 peratus dalam dagangan sehari.
Pada masa sama, minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat turut meningkat 2.8 peratus kepada AS$102.87 setong.
Kenaikan itu berlaku ketika pasaran berdepan beberapa gangguan bekalan secara serentak, termasuk serangan terhadap infrastruktur tenaga Arab Saudi serta peningkatan ketegangan di beberapa laluan perkapalan strategik.
Gangguan berkenaan berpotensi memanjangkan tempoh penghantaran selain meningkatkan kos bahan api, pengangkutan dan insurans. Tekanan terhadap pasaran minyak bertambah selepas Arab Saudi menutup saluran paip minyak mentah Timur-Barat susulan serangan dron,lapor Reuters.
Saluran paip itu mempunyai kepentingan strategik kerana membolehkan Arab Saudi menyalurkan minyak ke kawasan pesisir Laut Merah tanpa bergantung sepenuhnya kepada penghantaran melalui laluan laut yang terdedah kepada risiko konflik.
Penutupan berkenaan menimbulkan kebimbangan mengenai kelancaran eksport minyak Arab Saudi. Pedagang turut memberi amaran bahawa stok minyak yang tersedia untuk eksport boleh berkurangan sekiranya saluran paip berkenaan tidak kembali beroperasi dalam tempoh terdekat.
Dalam perkembangan sama, perhatian pasaran terus tertumpu kepada Selat Hormuz, antara laluan tenaga paling strategik dunia.
Kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas global lazimnya melalui selat berkenaan, menjadikan sebarang gangguan terhadap aktiviti pelayaran di kawasan itu berpotensi memberi kesan kepada pasaran tenaga antarabangsa.
Rancangan pertemuan negara-negara Teluk dengan Iran bagi membincangkan pembentukan laluan pelayaran sementara melalui Selat Hormuz turut ditangguhkan. Perkembangan itu menambah ketidakpastian terhadap aspek keselamatan serta kelancaran pengedaran minyak dan gas dunia.
Sekiranya aktiviti pelayaran melalui Selat Hormuz dan laluan strategik lain terganggu untuk tempoh panjang, pasaran antarabangsa berdepan risiko tekanan bekalan tenaga yang lebih besar.





