JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan nombor pendaftaran kenderaan istimewa siri H sempena Hari Malaysia yang dibuka untuk bidaan mulai Rabu ini hingga 20 September, dengan angka bermula dari 1 hingga 9999.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, bidaan nombor pendaftaran Istimewa itu boleh dibuat menerusi aplikasi JPJeBid, manakala keputusan akan diumumkan pada 21 September ini.
Menurut beliau, nombor pendaftaran siri H dianggap istimewa kerana merupakan huruf tunggal terakhir yang akan ditawarkan oleh JPJ selain melambangkan keharmonian sempena sambutan Hari Malaysia.
“Nombor ini sangat istimewa dan orang ramai digesa mengambil peluang untuk mendapatkannya kerana selepas ini, tiada lagi huruf tunggal akan ditawarkan oleh JPJ,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran nombor siri berkenaan pada Majlis Interaksi Bersama Media di Presint Merdeka 118 di ibu negara malam ini.
Aedy Fadly berkata, penggunaan huruf H bagi siri berkenaan berbeza dengan pendaftaran teksi kerana bagi pengangkutan awam itu, ia perlu diiringi huruf pendaftaran negeri.
“Sebagai contoh, teksi di Perak didaftarkan dengan huruf HA kerana A merupakan huruf pendaftaran negeri itu,” katanya.





