PENGORBANAN anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sentiasa bersedia mempertahankan kedaulatan negara tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kejayaan pendidikan anak-anak mereka.

Menyedari cabaran dihadapi keluarga tentera, Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melaksanakan dua inisiatif pendidikan yang memberi manfaat kepada 1,207 anak warga ATM bagi membantu mereka membuat persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026.
Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin berkata, anak-anak anggota tentera berdepan keadaan yang berbeza berbanding kebanyakan pelajar lain termasuk keperluan berpindah sekolah dan berjauhan daripada ibu atau bapa yang menjalankan tugas.
“Anak-anak warga ATM membesar dengan pengorbanan ibu bapa yang sentiasa bersedia berkhidmat di mana sahaja mereka ditugaskan. Ada yang kerap berpindah sekolah, ada yang berjauhan dengan ibu atau bapa yang bertugas.
“Tanggungjawab kami adalah memastikan cabaran ini tidak menjadi penghalang kepada kejayaan mereka,” katanya.
Bagi memastikan kebajikan pendidikan golongan itu terus terbela, Yayasan LTAT memperkenalkan Program e-Perkasa SPM 2026 yang menyasarkan 591 anak ATM bersekolah di luar kem, manakala Program Sentuhan Elit SPM 2026 memberi bimbingan kepada 616 pelajar di Sekolah Dalam Kem (SDK) dan institusi berkaitan ATM.
Inisiatif berkenaan dilaksanakan selaras dengan mandat Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam menjaga kebajikan serta kesejahteraan keluarga warga ATM, di samping mencerminkan keprihatinan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin terhadap masa depan pendidikan anak-anak anggota tentera.
Program e-Perkasa SPM menyediakan bantuan peranti dan tuisyen intensif secara dalam talian tanpa bayaran, sekali gus membolehkan pelajar mendapatkan akses kepada bimbingan akademik tanpa dibatasi lokasi tempat tinggal atau persekolahan.
Program yang dirasmikan Mohamed Khaled di Kem Mahkota, Kluang, Johor pada 30 Ogos 2024 itu telah memberi manfaat kepada 2,011 penerima sejak diperkenalkan.
Sepanjang tahun ini, sebanyak 75 sesi mentor-mentee dan 15 sesi bersama guru pakar dilaksanakan bagi membantu peserta memperkukuh penguasaan mata pelajaran serta meningkatkan keyakinan menghadapi peperiksaan.
Seramai 100 pelajar terpilih turut mengikuti Kem Kecemerlangan SPM bagi melengkapkan pembelajaran dalam talian dengan bimbingan lebih intensif.
Program itu mendapat sokongan rakan strategik Yayasan LTAT iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA), Boustead Plantations Berhad, TM Technology Services Sdn Bhd, Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) dan Yayasan Taqwa MAIWP.
Sementara itu, Program Sentuhan Elit SPM yang dilaksanakan dengan kerjasama Maybank Islamic Berhad melibatkan enam sekolah, dengan penyertaan tertinggi dicatatkan Maktab Tentera Diraja seramai 221 pelajar.
Sekolah lain yang menyertai program itu ialah SMK Desa Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur (161 pelajar), SMK Kem Terendak, Melaka (110), SMK Pangkalan TLDM, Lumut (97), Sekolah Tahfiz & Asrama Anak Yatim (STAY) ATM (14) dan SMK Tanjung Pengelih (13).
Sejak 2022 hingga 2026, program itu telah memberi manfaat kepada 2,883 pelajar melalui lima komponen utama, merangkumi tuisyen intensif, pecutan akhir peperiksaan, bengkel teknik menjawab soalan, motivasi pelajar dan ibu bapa serta bimbingan hala tuju kerjaya selepas SPM.
Daripada 381 sesi yang dirancang, sebanyak 369 sesi atau 95 peratus selesai setakat 5 November lalu, manakala baki 12 sesi akan diteruskan sehingga 21 November ini.
Persediaan pelajar turut merangkumi perancangan masa depan selepas SPM melalui pendedahan kepada pilihan pengajian dan laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), dengan kerjasama institusi seperti Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), UPSI, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Management and Science University (MSU), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), GIATMARA, politeknik, kolej komuniti dan Kolej Profesional MARA.
Secara keseluruhan, Program e-Perkasa SPM dan Program Sentuhan Elit SPM telah memberi manfaat kepada 4,894 anak warga ATM sejak mula dilaksanakan.
Mohd Nizar berkata, kedua-dua inisiatif itu memastikan anak-anak anggota tentera mendapat peluang dan sokongan pendidikan yang sewajarnya, sama ada mereka bersekolah di dalam mahupun di luar kem.
“Kejayaan anak-anak ini adalah penghargaan terbaik kepada jasa ibu bapa mereka yang menjaga keselamatan negara.
“Kami doakan semua calon SPM 2026 tenang, yakin dan memberikan yang terbaik di dewan peperiksaan,” katanya.





