Kemas kini telefon bagi pastikan penerimaan amaran kecemasan EWS – MCMC

ORANG ramai disaran mengemas kini sistem operasi telefon mudah alih masing-masing bagi memastikan peranti mereka bersedia menerima amaran kecemasan menerusi Sistem Amaran Awal (EWS) yang sedang dilaksanakan secara berfasa.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan, keperluan itu penting bagi memastikan telefon yang digunakan menyokong teknologi sistem berkenaan, sekali gus membolehkan pengguna menerima maklumat kecemasan apabila berlaku bencana atau situasi berisiko.

Menurutnya, EWS menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) yang membolehkan amaran dihantar secara serentak kepada telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan geografi dikenal pasti.

“Teknologi ini tidak memerlukan pengguna memuat turun aplikasi tambahan, membuat pendaftaran atau melanggan sebarang perkhidmatan khusus,” menurut kenyataan MCMC hari ini.

Sebagai panduan awal, MCMC memaklumkan peranti Apple perlu menggunakan iPhone 11 dan model lebih baharu dengan sistem operasi iOS 27.2 atau versi terkini.

Bagi peranti Android pula, pengguna perlu menggunakan sistem operasi Android 12 atau versi terkini, manakala telefon Huawei perlu dilengkapi EMUI 16 atau versi terkini.

Bagaimanapun, keperluan minimum itu masih tertakluk kepada pengesahan teknikal akhir.

MCMC berkata, pengguna turut disarankan memasang kemas kini perisian terkini yang tersedia, memulakan semula telefon selepas proses berkenaan serta memastikan tetapan Amaran Kecemasan diaktifkan, sekiranya fungsi itu disediakan pada peranti masing-masing.

Dalam perkembangan berkaitan, MCMC hari ini mengadakan sesi taklimat khas bersama ketua-ketua pengarang media bagi memperkenalkan EWS, selain menerangkan mekanisme penyampaian amaran dan memperkukuh kerjasama media dalam meningkatkan kesedaran masyarakat.

Sesi berkenaan turut disertai demonstrasi menerusi ujian teknikal dalaman yang diadakan di ibu pejabat MCMC di Cyberjaya.

MCMC menjelaskan, aktiviti hari ini merupakan ujian teknikal dalaman bagi menilai serta menambah baik sistem berkenaan sebagai persediaan ke arah pelaksanaan lebih meluas.

“Pelaksanaan ujian pada skala lebih luas akan dibuat secara berfasa,” menurut kenyataan itu lagi.

Pelaksanaan EWS membabitkan kerjasama MCMC, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi teknikal berkaitan serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi memperkukuh keupayaan negara menyalurkan amaran kecemasan dengan lebih pantas dan bersasar.

Orang ramai diingatkan supaya sentiasa mengikuti maklumat rasmi serta mematuhi arahan pihak berkuasa apabila menerima amaran kecemasan.

Sistem itu melengkapi saluran amaran sedia ada sebagai sebahagian usaha meningkatkan keselamatan dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi bencana.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here