SEBUAH helikopter meletup ketika berlepas bagi tujuan pengujian enjin selepas menjalani kerja pembaikan di Lapangan Terbang Subang, hari ini
Empat lelaki warga Ukraine yang terdiri daripada juruterbang, kru dan pembantu juruterbang (co-pilot) berjaya menyelamatkan diri.
Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.30 tengah hari.
“Seramai lima anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong digerakkan ke lokasi yang jaraknya sejauh tiga kilometer,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ashrul Riezal berkata, setibanya pasukan bomba di lokasi, pihaknya mendapati sebuah helikopter jenis Kamov KA-32 yang nombor pendaftaran dari Ukraine terbakar sepenuhnya.
“Kerja-kerja pemadaman turut dilakukan pasukan Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) bersama anggota bomba yang bertugas bagi mengawal kebakaran,” katanya.





