Penghantaran pulang warga Myanmar: Tidak adil salahkan Malaysia – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan usaha Malaysia menangani isu warga Myanmar yang berada di negara ini perlu dilihat menerusi pendekatan jangka panjang dan rundingan, bukannya dengan menyalahkan kerajaan semata-mata.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia perlu mencari penyelesaian bersama Myanmar dengan memastikan aspek keselamatan, kebajikan dan hak asasi individu yang dihantar pulang turut diberi perhatian.

Beliau berkata, Malaysia juga tidak boleh terus menanggung jumlah warga Myanmar yang besar tanpa mencari jalan penyelesaian terhadap isu yang telah berlarutan sejak beberapa dekad lalu.

“Tidak ada negara yang boleh menerima beratus-ratus ribu (pelarian Myanmar) dan beberapa negara berjuta-juta (pelarian Myanmar), tapi kita perlu bernegosiasi. Kedudukan kita adalah untuk melindungi keperluan dan kesejahteraan mereka, keperluan hak asasj manusi.

“Tetapi untuk menyalahkan kita kerana mengambil inisiatif ini (menghantar pulang pelarian Myanmar), saya rasa ia tidak adil.

“Kita cuba cari keputusan yang boleh dibuat untuk isu ini, sebab itulah saya telah menjemput dia (Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing) ke Malaysia. Kita akan terus bernegosiasi dan melihat keadaan, bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Profesional (PROFEX) 2026 di Pusat Konvensyen KLGCC di Kuala Lumpur hari ini.

Anwar berkata, perkembangan di Myanmar yang semakin kompleks menyebabkan isu berkenaan tidak boleh diselesaikan hanya dengan meminta Malaysia menghentikan usaha penghantaran pulang rakyat negara itu.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan memilih pendekatan diplomasi dan rundingan dengan pihak Myanmar supaya proses berkenaan dapat dilaksanakan secara teratur.

Beliau berkata, soal keselamatan dan keperluan asas mereka yang pulang juga perlu diberikan perhatian bagi memastikan kebajikan mereka terjamin selepas kembali ke negara asal.

Katanya, Malaysia akan meneruskan rundingan bersama Myanmar bagi menentukan pendekatan yang sesuai dalam menangani isu berkenaan.

Sementara itu, fasa pertama Program Penghantaran Pulang Secara Sukarela bermula hari ini dengan membabitkan 1,476 warga Myanmar yang telah dikenal pasti oleh kerajaan negara berkenaan.

Jumlah itu merupakan sebahagian daripada 5,000 warga Myanmar yang dijadualkan dihantar pulang secara berperingkat menerusi program berkenaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here