RM1.9 bilion transaksi penipuan berjaya disekat sehingga Jun – BNM

SEKTOR kewangan negara berjaya menyekat transaksi berunsur penipuan bernilai kira-kira RM1.9 bilion dalam tempoh sehingga Jun tahun ini.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, jumlah berkenaan sudah melepasi nilai transaksi penipuan yang berjaya dihalang sepanjang tahun lalu, iaitu sekitar RM1.2 bilion.

Menurut beliau, usaha membanteras jenayah kewangan turut membolehkan aset bernilai lebih RM37 bilion diperoleh semula dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Katanya, tindakan terhadap kes jenayah kewangan berprofil tinggi dan kompleks juga terus dipergiat menerusi kerjasama pelbagai agensi.

“Aset bernilai lebih RM37 bilion juga telah diperoleh semula dalam tempoh lima tahun yang lalu.

“Kes-kes jenayah kewangan yang berprofil tinggi dan kompleks turut disiasat dan didakwa, termasuk kes yang melibatkan pelbagai agensi. Pencapaian ini merupakan bukti usaha menyeluruh seluruh negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Jenayah Kewangan dan Pembanterasan Pembiayaan Pengganas (IFCTF) 2026 di ibu negara hari ini, lapor Buletin TV3.

Abdul Rasheed berkata, usaha pengawasan turut diperkukuh menerusi rangka kerja yang lebih mantap serta penggunaan teknologi dalam penyeliaan lebih 27,000 institusi pelaporan kewangan dan bukan kewangan.

Menurutnya, Malaysia sejak kebelakangan ini turut memperkukuh keupayaan perkongsian risikan menerusi empat platform utama iaitu Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Pusat Tindak Balas Penipuan Kebangsaan (NSRC), Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (MATF) dan Portal Penipuan Kebangsaan (NFP).

Katanya, NFP yang memulakan projek rintis sejak Oktober tahun lalu kini digunakan bagi menganalisis corak rangkaian pembayaran dalam usaha mengesan akaun yang berpotensi menjadi akaun keldai.

Hasil analisis itu, PayNet setakat ini telah mengenal pasti lebih 1,600 akaun yang mempunyai risiko berkaitan aktiviti akaun keldai.

Dalam perkembangan sama, Abdul Rasheed memberi amaran bahawa kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) turut membuka ruang lebih besar kepada penjenayah untuk memperdaya mangsa menerusi teknik kejuruteraan sosial.

Beliau berkata, anggaran Interpol menunjukkan penipuan yang menggunakan AI mampu menjana keuntungan 4.5 kali ganda berbanding kaedah penipuan tradisional.

Situasi itu membolehkan penjenayah beroperasi dengan lebih pantas, menyasarkan jumlah mangsa yang lebih besar dan meningkatkan kesan kerugian kepada masyarakat.

“Jika penjenayah mengautomasikan penipuan, kita juga perlu mengautomasikan pengesanan,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan Malaysia perlu terus mempertingkat keupayaan bagi mengenal pasti, menyekat dan mencegah kegiatan kewangan yang menyalahi undang-undang dengan lebih pantas dan berkesan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here