SEORANG ibu tunggal didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini, selepas mengaku bersalah membuat laporan polis palsu kononnya diragut bagi mengelak bayaran penggantian MyKad yang tercicir.
Majistret Mustaqim Sukarno menjatuhkan hukuman itu terhadap Keranjeet Kaur Shivinder, 41, selepas mengambil kira rayuan tertuduh serta hujahan pihak pendakwaan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan. Bagaimanapun, tertuduh kemudian menjelaskan denda itu, lapor Harian Metro.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membuat laporan polis palsu dengan mendakwa diragut dua lelaki bermotosikal di Kampung Jorak Elahi, Bukit Pasir, pada 12 September lalu.
Kesalahan itu dilakukan di Balai Polis Cyberjaya, Sepang, pada jam 12.37 tengah hari, 15 September lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh mendakwa beg tangannya yang mengandungi kad pengenalan, kad bank, kunci rumah dan wang tunai RM210 diragut dua lelaki bermotosikal pada jam 11.20 malam, 12 September lalu.
Susulan laporan itu, polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian ragut berkenaan.
Bagaimanapun, hasil temu bual dan soal siasat pada 18 September lalu mendapati tertuduh mengaku secara sukarela bahawa kejadian ragut itu tidak berlaku.
Tertuduh mengaku mereka-reka cerita berkenaan selepas kad pengenalannya tercicir dan dia mahu mendapatkan MyKad baharu tanpa dikenakan bayaran penggantian.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shahzleen Ibrahim, manakala tertuduh diwakili Normaahani Rais daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).





