ILHAM Fansuri, 27 anak kepada Aktivis Kemanusiaan, Zainal Rashid Ahmad yang merupakan peserta Global Sumud Flotillah mengalami masalah kesihatan yang agak serius selepas mengharungi pelayaran lama dan merentas ombak menuju Ke Gaza.
Zainal Rashid yang turut menyertai misi itu berkata, keadaan anaknya mula merosot pada hari ke-28 selepas tidak sedarkan diri ataupun mampu membuka mata.
“Saya hantar dia ke Hospital Alma, iaitu sebuah kapal bertaraf hospital kerana ada pakar-pakar di sana dan mereka yang uruskan. Saya serahkan anak sambil pesan, ‘Tolong jaga anak saya’.
“Ilham tidak sedarkan diri, dia tidak boleh buka mata, pemeriksaan mendapati anak mata juga tidak kembang. Dr Hashim dari Turkiye memaklumkan keadaan Ilham sebagai sangat teruk,” katanya ketika siaran langsung bersama penulis buku, Ahmad Faezal, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, mereka yang menaiki kapal sama sebelum ini berdepan masalah kehabisan bekalan gas selama tiga hari hingga tidak dapat memasak.
“Apabila gas habis, kami tidak boleh hendak masak apa-apa. Tiga hari tidak makan, hanya buah oren jadi bekalan,” ujarnya.
Situasi bertambah sukar apabila mereka terpaksa dipindahkan ke sebuah bot kecil selama tiga hari dan berdepan ombak kuat yang melanda menyebabkan keadaan Ilham semakin teruk.
Zainal Rashid memberitahu , pelayaran mengambil masa lebih lama berbanding tempoh 16 hari yang disasarkan sehingga anak perempuannya itu terpaksa dibawa ke Alma untuk menerima rawatan pada hari ke-28.



