AWANG pelik sungguh perangai parti Bersatu ini.Orang dok sibuk pasal subsidi petrol, pasal Gaza, mereka dok gaduh sesama sendiri, puncanya bila Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan dedahkan isi kandungan akuan bersumpah yang ada kaitan dengan kedudukan Muhyiddin Yassin. Nak panas lagi beliau sebut pula pasal video Mohamed Azmin Ali yang heboh satu ketika dulu.
Sejak perhimpunan agung Bersatu lagi, Awang dah rasa Bersatu ada masalah khususnya melibatkan kepimpinan. Ada cakap-cakap bahawa parti itu sebenarnya berpecah. Apa yang orang ramai tengok kat perhimpunan tu semuanya sandiwara.
Awang tak pastilah betul ke tak. Tapi kalau ikut maklumat Awang terima, rasanya apa yang orang cakap tu betul. Ada yang kata sokongan kat Muhyiddin dalam Bersatu ‘ada masalah’. Ada pula yang cerita dalam Bersatu ada ‘batu api’ dan ‘kaki cucuk’. Entahlah.
Yang pasti ni ujian untuk Muhyiddin. Beliau kena buktikan masih ada pengaruh untuk menamatkan segala konflik yang berlaku. Parti tak besar manapun. Tak ada pun negeri yang Bersatu jadi Menteri Besar, tapi ‘kecoh dalaman’ kalah parti Republikan kat Amerika Syarikat.
Dulu Awang pernah cakap, sesebuah parti tak akan hancur dari luar sebaliknya akan hancur dari dalam. Inilah situasi yang akan berlaku kepada Bersatu, jika Muhyiddin gagal untuk menyelesaikan kemelut ini yang Awang nampak makin parah.
Bagi Awang, keadaan Bersatu sudah terumbang ambing, bermula daripada tindakan menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri Bersatu. Ia kerana ada dakwaan Muhyiddin tidak mendapat sokongan solid ahli-ahli. Malah Pas sendiri sudah menolak Muhyiddin secara halus. Tetapi ada puak yang ghairah nak calon Muhyiddin walaupun aura ‘abah’ makin luntur.
Keadaan lebih parah bila berlaku tuduh menuduh pasal SD. Masing-masing ada versi sendiri pasal isi kandungannya. Akhirnya ia sampailah ke kemuncak bila Wan Saiful buat sidang akhbar dedah isi sebenar.
Awang rasa lepas ni bukan sahaja Wan Saiful tapi mungkin beberapa orang lagi pemimpin akan kena tindakan, kalau tak kena tindakan pun mungkin mereka tak akan dicalonkan dalam PRU-16 nanti. Tapi itu andaian sahaja. Kalau boleh jangan sampai ke tahap itu.
Jika pecat memecat berlaku percayalah situasi dalam Bersatu akan bertambah teruk, walaupun khabarnya sudah ada ‘bunyi-bunyi’ pasal benda itu. Harap Muhyiddin akan menggunakan kebijaksanaannya untuk mengendalikan situasi dalam parti berkenaan jangan sampai yang retak menjadi belah, yang terbelah terus berkecai.
Kalau itu berlaku Muhyiddin lupakan sahaja soal menjadi calon PM sebab kalau parti sendiri pun porak peranda macam mana nak jaga Perikatan Nasional, lebih baik serah sahaja kepada Pas yang Awang yakin dah bersedia memimpin waima tanpa Bersatu sekalipun…Siapa yang akan bersama Pas? Politik tiada musuh atau kawan yang kekal.
Awang – Teringat lagu hukum karma



