Imbangi teknologi moden dengan akhlak dan integriti – PM

PENGUASAAN teknologi moden dan disiplin ilmu baharu perlu diseimbangkan dengan penerapan nilai akhlak serta integriti yang teguh bagi melahirkan generasi yang mampu menyumbang secara bermakna kepada kemajuan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan amat menggalakkan penerokaan bidang masa hadapan seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan pengkomputeran kuantum.

Bagaimanapun, beliau berkata, pencapaian ilmu itu tidak akan memberi makna sekiranya tidak dipandu oleh keimanan dan benteng moral yang utuh.

Anwar berkata, ketiadaan imbangan antara ilmu pengetahuan dan etika dikhuatiri mampu meruntuhkan ekosistem masyarakat terutama apabila terdapat individu bijak yang menyalahgunakan kepintarannya untuk tujuan penyelewengan serta khianat.

“Menimba ilmu itu untuk pintar… betul, tapi yang utama ialah untuk mencari kebenaran dan menjadi manusia yang baik.

“Ada orang pintar dalam sejarah kita tetapi pintar mencuri atau merompak, akhirnya negara rosak,” katanya ketika berucap pada pada Program Sentuhan Sahabat MADANI di Bukit Gambir di Tangkak hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar menyatakan komitmen beliau untuk memastikan agihan peruntukan bagi sektor pendidikan, pengajian tinggi, sains, teknologi serta penyelidikan dan pembangunan di peringkat universiti diatur secara optimum.

Perdana Menteri bagaimanapun meluahkan rasa kesal berhubung ketirisan dana negara bernilai puluhan bilion ringgit sebelum ini, yang menurut beliau sepatutnya boleh digunakan secara lebih meluas bagi membiayai agenda pendidikan anak muda.

“Kita juga tahu negara ini yang kaya, puluhan bilion dah hilang… jika tidak, kita boleh gunakan lebih banyak untuk pendidikan… kalau negara ini tidak dirosakkan dulu, lebih banyak belanja untuk tolong anak-anak ini.

“Tapi dalam keadaan itu pun, saya yang telah dapat amanah, saya ada tanggungjawab… saya tak boleh guna kuasa saya sebagai Perdana Menteri untuk curi wang rakyat, untuk kayakan diri saya dan anak-anak saya,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img