POLIS mendapat perintah reman selama tujuh hari terhadap tiga etnik Rohingya termasuk dua wanita yang ditahan susulan pembunuhan rakan etnik Rohingya berusia 31 tahun di Taman Belibis, Simpang Ampat di Bukit Mertajam semalam.
Perintah reman hingga 7 Jun itu dikeluarkan Majistret Roshayati Radellah hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 20-an hingga 30-an.
Ketiga-tiga suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam kira-kira jam 9.30 pagi dengan kawalan ketat pihak polis.
Polis semalam menahan tiga penduduk Rohingya termasuk dua wanita berhubung kematian lelaki etnik Rohingya berusia 31 tahun di sebuah rumah di Taman Belibis.
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 3.20 petang dan siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami beberapa luka tikaman di badannya.
Selain itu, seorang wanita berusia 26 tahun iaitu isteri mangsa turut mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Seberang Jaya.
Siasatan awal turut menunjukkan kejadian dipercayai berpunca daripada pergaduhan rumah tangga.
Polis merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam serangan itu dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan senjata berbahaya.


