Indonesia mula puasa Khamis tetapi Muhammadiyah puasa esok…ini alasannya

WALAUPUN Indonesia akan berpuasa pada Khamis namun pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, Muhammadiyah memutuskan 1 Ramadan 1447 bermula esok.

Sehubungan itu kesemua ahli pertubuhan berkenaan akan berpuasa esok dan dijangka menyambut Aidilfitri sehari lebih awal berbanding tarikh ditetapkan Kementerian Agama Indonesia.

Pada sidang media di Jakarta malam ini,  Menteri Agama Indonesia  Prof Nasaruddin Umar mengumumkan umat Islam negara tersebut mula berpuasa Khamis.

Katanya, ketetapan ini diambil setelah mempertimbangkan hasil hisab kedudukan anak bulan (hilal) dan laporan rukyatul hilal di pelbagai daerah di Indonesia.

“Berdasarkan hisab dan tidak ada yang melihat hilal, maka satu Ramadan 1447 H/ 2026 M jatuh pada Khamis, 19 Februari 2026,” katanya pada sidang media malam ini.

Sekali lagi keputusan Muhammadiyah menimbulkan persoalan kenapa mereka berbuat demikian?

Dalam satu kenyataan, Pakar Falak Muhammadiyah, Arwin Juli Rakhmadi Butar-Butar berkata, keputusan tersebut dibuat berdasarkan ketetapan Majlis Tarjih dan Tajdid.

Majlis itu adalah institusi dalam Muhammadiyah  yang berfungsi membuat penilaian (tarjih) hukum dan pembaharuan (Tajdid) pemikiran Islam.

Tarjih  bererti membuat penilaian atau memilih pendapat yang paling kuat dalilnya apabila terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan ulama manakala Tajdid pula usaha memperbaharui pemahaman dan amalan agama supaya kembali kepada ajaran asal al-Quran dan Sunnah, serta relevan dengan keadaan semasa.

Arwin Juli berkata, selain itu, Muhammadiyah kini menggunakan kaedah baharu iaitu Kalendar Hijrah Global Tunggal (KHGT) sebagai rujukan rasmi, menggantikan kaedah wujudul hilal (terwujudnya anak bulan) yang digunakan sebelum ini.

Kalendar Hijrah Global Tunggal (KHGT) iaitu sistem kalendar Islam yang diseragamkan di seluruh dunia, supaya tarikh Hijrah (seperti 1 Ramadan, 1 Syawal, 1 Zulhijjah) bermula pada hari yang sama di semua negara.

Bagaimanapun ia belum digunakan secara meluas dalam kalangan negara-negara Islam termasuklah Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.

Arwin Juli berkata, pelaksanaan KHGT mensyaratkan memenuhi tiga unsur utama yang dikenali sebagai Prinsip, Syarat dan Parameter (PSP).

‘’Antara parameter penting ialah kedudukan hilal selepas ijtimak dengan ketinggian minimum 5 darjah dan  elongasi (jarak sudut anak matahari dan bulan) 8 darjah, yang boleh berlaku di mana-mana lokasi di permukaan bumi, bukan terhad kepada kawasan tertentu.

‘’Bagi penetapan awal Ramadan 1447H, parameter tersebut didapati telah dipenuhi di Alaska, Amerika Syarikat, dengan ketinggian hilal 5° 23’ 01” dan elongasi 8° 00’ 06”. Justeru, berdasarkan kaedah KHGT, Muhammadiyah menetapkan 1 Ramadan 1447H jatuh pada 18 Februari 2026,’’ katanya.

SEMENTARA itu Prof. Nasaruddin menasihatkan umat Islam di negara itu untuk terus menjaga perpaduan walaupun menyambut 1 Ramadan pada hari berbeza.

Katanya, negara itu sudah cukup berpengalaman dalam soal perbezaan sebelum ini yang tidak menimbulkan apa-apa konflik.

“Indonesia tetap aman dan telah berpengalaman dalam perbezaan penentuan 1 Ramadan pada tahun sebelumnya. Kita berpengalaman bersatu di tengah perbezaan,” katanya dalam kenyataan di Jakarta.

Sehubungan itu beliau berharap, masyarakat tidak terjebak dalam perdebatan yang tidak membina dalam soal tersebut.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img