DAKWAAN Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Maslan bahawa pemimpin utama DAP tidak menerima gelaran kebesaran seperti “Datuk” kerana pendirian parti itu terhadap institusi Raja-Raja Melayu, adalah fitnah, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka Adly Zahari.
Adly yang juga Naib Presiden Amanah turut menyifatkan dakwaan sedemikian sebagai cubaan untuk memburukkan PH ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 masih berlangsung.
“Jadi, sebab itu saya simpulkan kenyataan itu satu fitnah,” katanya pada sidang media harian PH di Bilik Gerakan Utama PH di Melaka hari ini.
Beliau juga berkata dakwaan berkenaan tidak berasas kerana terdapat pemimpin DAP yang menerima gelaran kebesaran ketika PH mentadbir kerajaan termasuk di Melaka.
“Ada pemimpin tertinggi DAP (seperti) Tan Sri Lim Kit Siang, turut menerima gelaran…dalam kalangan pemimpin UMNO sendiri pun ada yang tidak bergelar seperti Tun Ghafar Baba yang menerima gelaran selepas beliau meninggal dunia,” katanya.
Media melaporkan, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya ketika berucap pada ceramah pilihan raya di Kampung Lendu Dalam malam tadi mendakwa pemimpin DAP tidak cenderung menerima gelaran kebesaran kerana tidak mahu mengiktiraf kedudukan dan institusi Raja-Raja Melayu.
Ahmad turut berkata perkara itu antara sebab UMNO mempunyai perbezaan ideologi dengan DAP, selain isu berkaitan konsep negara sekular dan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRN Melaka ke-16 pada Sabtu ini dengan 687,697 pengundi layak menjalankan tanggungjawab pada PRN berkenaan kali ini.





