Harapan pasukan kebangsaan Indonesia untuk menembus Piala Dunia 2026 akhirnya musnah selepas tewas tipis 0-1 kepada Iraq dalam perlawanan hidup mati Kumpulan B pada Pusingan Keempat Kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Asia.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh pemain gantian, Zidane Aamar Iqbal, pada minit ke-75 di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah, Arab Saudi, awal pagi Ahad waktu Malaysia. Bekas pemain Manchester United itu melepaskan rembatan kaki kiri padu yang gagal diselamatkan penjaga gol Maarten Paes, sekali gus menamatkan perjuangan skuad Garuda untuk mara ke pentas dunia.
Memetik laporan republika.co.id Kekalahan ini merupakan yang kedua buat anak buah Patrick Kluivert, selepas sebelumnya tunduk 2-3 kepada Arab Saudi dalam aksi pembukaan. Dengan dua kekalahan berturut-turut, Indonesia sah tersingkir daripada saingan.
Sementara itu, Iraq dan Arab Saudi akan berentap dalam perlawanan terakhir bagi menentukan juara kumpulan serta tiket automatik ke Piala Dunia 2026.
Pada separuh masa pertama, Indonesia tampil cukup agresif namun gagal menjaringkan gol. Memasuki babak kedua, Kluivert melakukan pertukaran dengan memasukkan Ragnar Oratmangoen menggantikan Ricky Kambuaya, manakala Iraq turut membuat dua pertukaran pemain.
Mauro Zijlstra dilayangkan kad kuning selepas melakukan terjahan keras, dan pada minit ke-56 beliau digantikan oleh Ole Romeny.
Empat minit kemudian, Iraq mula menekan melalui dua pemain gantian mereka, Youssef Wali Amyn dan Zidane Iqbal, namun percubaan Amyn tersasar jauh.

Peluang terbaik Indonesia hadir pada minit ke-65 menerusi rembatan Kevin Diks, yang menjadi percubaan tepat pertama pasukan. Namun, bola berjaya ditepis penjaga gol Iraq, Jalal Hussein. Dua minit kemudian, Miliano Jonathans dimasukkan menggantikan Eliano Reijnders untuk menambah kekuatan serangan.
Drama tercetus pada minit ke-67 apabila Ole Romeny dijatuhkan dalam kotak penalti, namun pengadil Jepun, Ryuji Sato, tidak menganggapnya sebagai kekasaran. Walaupun pemain Indonesia membantah dan VAR turut digunakan, keputusan asal kekal.
Selepas insiden itu, Iraq mengambil alih permainan dan akhirnya menjaringkan gol kemenangan melalui Zidane Iqbal pada minit ke-75.
Indonesia cuba bangkit di penghujung perlawanan dengan kemasukan Marselino Ferdinan dan beberapa percubaan dari Thom Haye serta Oratmangoen, namun pertahanan Iraq kekal utuh hingga wisel penamat.
Kekalahan ini menandakan tamatnya perjalanan Indonesia di pusingan keempat kelayakan, namun pencapaian mereka tetap disanjung sebagai yang terbaik dalam sejarah moden bola sepak negara itu.
Dengan kemenangan ini, Iraq mengumpul enam mata dan sah layak bersama Arab Saudi ke Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.



