IRC 2026 bantu rangka undang-undang digital, AI

KEMENTERIAN Komunikasi berkeyakinan hasil perbincangan Persidangan Regulasi Antarabangsa (IRC) 2026 dijangka membantu Malaysia merangka undang-undang baharu untuk memperkukuh keselamatan digital dan mengawal selia kecerdasan buatan (AI).

Menterinya, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, persidangan itu menyediakan platform kepada badan kawal selia komunikasi dari pelbagai negara untuk bertukar pandangan serta membincangkan kaedah terbaik menangani kemudaratan dalam talian.

Beliau berkata, antara isu yang diharap dapat dibincangkan sepanjang persidangan dua hari itu ialah keselamatan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan dalam talian secara menyeluruh.

“Kita harap terhasil daripada persidangan ini beberapa tindakan susulan, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara-negara lain.

“Kita ada wakil daripada International Telecommunication Union (ITU) dan memandangkan Malaysia adalah ahli Majlis ITU, dapatan yang kita peroleh juga akan kita bawa untuk dikongsikan di peringkat badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti ITU.

“Ini membolehkan kerangka kawal selia yang mungkin berbeza-beza mengikut kesesuaian negara dibuat perbandingan,” katanya selepas merasmikan IRC 2026 di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kerajaan juga tidak mahu kerangka kawal selia yang diperkenalkan menghalang pelaburan dalam teknologi baharu, sebaliknya perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi.

Katanya, pengalaman daripada perbincangan IRC sebelum ini membolehkan kerajaan merangka dan membawa beberapa cadangan perundangan ke Dewan Rakyat serta Dewan Negara.

“Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA), itu adalah salah satu yang terhasil daripada banyak perbincangan, termasuk dalam forum seperti IRC.

“Jadi kita lihat memang ada, sama ada pindaan kepada akta-akta berkaitan untuk menangani jenayah dalam talian, contohnya ‘scam‘.

“Kita juga tahu sekarang Kementerian Digital sedang berusaha gigih untuk menyediakan satu rangka undang-undang kawal selia AI.

“Jadi banyak daripada perbincangan mengenai teknologi yang baru muncul akan kita bawa dan bincangkan, sama ada di peringkat Jemaah Menteri supaya apa-apa rancangan undang-undang yang boleh ditambah baik atau digubal baharu akan dibawa ke Dewan Rakyat,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img