Dalam apa yang dilihat sebagai satu perubahan dasar besar, Israel hari ini mengumumkan keputusan untuk membuka semula pintu sempadan Rafah yang menghubungkan Gaza yang dikepung dengan Mesir, bagi membenarkan penghantaran besar bantuan kemanusiaan ke wilayah yang dilanda kebuluran itu.
Langkah tersebut dibuat selepas pemindahan empat mayat tahanan Israel yang telah diserahkan semula.
Menurut Perbadanan Penyiaran Awam Israel (KAN), keputusan baharu ini membatalkan rancangan terdahulu untuk mengekalkan penutupan pintu sempadan dan mengehadkan kemasukan bantuan, tindakan yang sebelum ini bertujuan untuk menekan Pergerakan Perjuangan Palestin, Hamas, susulan pertikaian mengenai penyerahan penuh semua mayat askar Israel yang terbunuh.
Kerajaan Israel turut mengesahkan bahawa ia membatalkan langkah-langkah sekatan tambahan terhadap Gaza, termasuk rancangan untuk mengurangkan separuh jumlah lori bantuan yang dibenarkan masuk. Dengan pembukaan semula ini, dianggarkan sekitar 600 lori bantuan akan memasuki Gaza hari ini.
Ancaman penutupan sempadan Rafah yang timbul semalam berpunca daripada dakwaan pihak Israel bahawa Hamas gagal menyerahkan sepenuhnya mayat semua tahanan tentera Israel yang terbunuh dalam peperangan.
Pihak Palestin pula menegaskan bahawa para tahanan tersebut maut akibat pengeboman Israel yang telah memusnahkan hampir keseluruhan Semenanjung Gaza sepanjang dua tahun kebelakangan ini.
Kerajaan sayap kanan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sebelum ini memutuskan untuk terus menutup lintasan Rafah sebagai tindakan hukuman, setelah menerima cadangan daripada agensi keselamatan untuk mengurangkan secara drastik bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Pertikaian tersebut berpunca daripada rancangan gencatan senjata yang diusahakan oleh Amerika Syarikat, yang menetapkan bahawa pintu Rafah hanya akan dibuka sepenuhnya selepas semua mayat tahanan Israel diserahkan.
Setakat ini, Hamas telah membebaskan 20 tahanan hidup Israel dan menyerahkan lapan set mayat, namun menyatakan bahawa mereka memerlukan lebih masa – dengan alasan kekurangan kemudahan teknikal dan keupayaan menggali mayat – untuk mencari 24 lagi mayat yang masih belum ditemui.
Bagaimanapun, media Israel melaporkan bahawa pegawai keselamatan Israel percaya Hamas sengaja menyembunyikan maklumat mengenai baki mayat terbabit, sekali gus mendorong keputusan politik untuk mengehadkan bantuan pada peringkat awal.
Dalam pada itu, Euro-Med Monitor for Human Rights memberi amaran bahawa walaupun lintasan Rafah dibuka semula, risiko kebuluran di Gaza masih kritikal.
Badan pemantau itu sebelum ini mengecam Israel kerana “berterusan menggunakan kebuluran sebagai alat genosid”, selepas hanya 173 lori bantuan dibenarkan masuk dalam tempoh dua hari selepas gencatan senjata.
Organisasi tersebut menegaskan bahawa jumlah bantuan yang dibenarkan sebelum ini hanyalah “sebahagian kecil” daripada keperluan kemanusiaan sebenar penduduk Gaza.
UNDILAH |
[forminator_poll id=”4496″]


