Kementerian Dalam Negeri Gaza, Hamas lancar kempen besar-besaran buru penjenayah, pengkhianat

Kementerian Dalam Negeri Gaza bersama pasukan keselamatan yang bersekutu dengan Hamas melancarkan kempen besar-besaran bagi memulihkan ketenteraman dan kestabilan di seluruh Semenanjung Gaza, selepas beberapa minggu berlaku pertempuran antara kumpulan bersenjata serta laporan peningkatan aktiviti jenayah di beberapa kawasan kejiranan di Bandar Gaza.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan keselamatan Radaa, yang berafiliasi dengan Hamas, operasi tersebut “dilancarkan secara tepat di pusat Bandar Gaza dan berjaya menumpaskan beberapa individu yang dikehendaki serta penjenayah.”

Pasukan itu turut memaklumkan bahawa mereka kini telah mengawal beberapa lokasi utama di Bandar Gaza, serta telah menjalankan operasi pembersihan dan penangkapan terhadap individu yang terlibat dalam insiden tembakan, pembunuhan penduduk yang dipindahkan, serta serangan terhadap orang awam.

Radaa menjelaskan bahawa operasi tersebut menyasarkan ‘tali barut’ Israel dan kumpulan jenayah terancang, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menstabilkan keadaan keselamatan di Gaza selepas tempoh ketegangan dan kekacauan yang berpanjangan.

Pasukan keselamatan Radaa yang bersekutu dengan Hamas berkata operasi yang sedang dijalankan merupakan sebahagian daripada “langkah keselamatan berskala besar” yang bertujuan untuk “menahan sejumlah besar kolaborator dan individu yang bertindak di luar undang-undang.”

Dalam kenyataannya, Radaa turut melaporkan bahawa beberapa suspek yang didakwa terlibat bekerjasama dengan militan bersenjata serta merekrut kolaborator semasa peperangan telah ditahan di kawasan selatan Gaza.

CNN, yang memetik kenyataan Radaa, melaporkan bahawa ia tidak dapat mengesahkan secara bebas identiti mereka yang ditahan, namun rakaman video operasi tersebut tersebar beberapa hari selepas laporan pertempuran antara pejuang Hamas dan ahli keluarga Doghmush, satu puak berpengaruh yang berpangkalan di kawasan al-Sabra, Bandar Gaza.

Dalam satu kenyataan bersama, faksi-faksi penentangan Palestin menyifatkan operasi keselamatan yang sedang dijalankan itu sebagai “keperluan nasional untuk melindungi rakyat dan mengekalkan kestabilan dalaman.”

Faksi-faksi berkenaan turut menggesa keluarga agar menyerahkan ahli mereka yang terlibat dalam kegiatan jenayah atau kolaborasi musuh, sambil menegaskan bahawa kempen ini mendapat “persetujuan nasional” untuk memulihkan keselamatan serta memburu pengkhianat dan ejen musuh.

 


 

UNDILAH

[forminator_poll id=”4496″]

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img