Aktiviti mengorek tanah disyaki mengandungi mineral bauksit tanpa kebenaran di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Bukit Goh, Kuantan terbongkar selepas serbuan Op Bersepadu Khazanah yang membawa kepada rampasan bernilai RM3.75 juta.
Dalam operasi kira-kira jam 11.30 pagi semalam, Cawangan Risik Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) turut menahan sembilan individu bagi membantu siasatan.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, rampasan membabitkan kira-kira 10,000 tan tanah disyaki mengandungi mineral bauksit bernilai RM2 juta.
Menurut beliau, turut disita dua jengkaut bernilai RM1 juta serta tiga lori tanah bernilai RM750,000.
“Hasil siasatan awal mendapati lima daripada sembilan lelaki yang ditahan adalah warga asing yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah.
“Semakan turut mendapati aktiviti mengorek tanah dijalankan tanpa lesen dan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan serta kerajaan negeri Pahang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua individu terbabit dipercayai menerima gaji bulanan antara RM1,900 hingga RM2,200.
Menurutnya, siasatan awal juga mendapati tapak berkenaan dimiliki peneroka FELDA sebelum dipajak kepada sebuah syarikat bagi tujuan kerja pembersihan dan penanaman semula kelapa sawit.
“Tanah yang siap dikorek dipercayai dihantar ke sebuah kilang pemprosesan di Gebeng sebelum dijual kepada pembeli,” katanya.
Ahmad Radzi berkata, empat warga Indonesia dan seorang warga Bangladesh yang ditahan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala tangkapan lain serta barang rampasan diserahkan kepada UPNP.
Katanya, UPNP turut mengarahkan kerja di lokasi dihentikan serta-merta sehingga siasatan selesai.
Kes disiasat mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri 2001, Seksyen 15(1)(c), Seksyen 39(b) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.






